KKMM cabar Finas dengan Projek Oscar
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menggariskan empat pelan dan tindakan agar sasaran filem tempatan disenarai dalam kategori Filem Terbaik Anugerah Oscar dapat dijayakan melalui Perbadanan Kemajuan Perfileman Nasional Malaysia (Finas).
Menterinya Saifuddin Abdullah berkata empat pelan itu dibuat bagi tempoh sederhana dan jangka panjang yang memerlukan tempoh antara 10 hingga 20 tahun untuk direalisasikan.
"Bagi Projek Oscar, ia mengambil masa mungkin bermula dari 10 hingga 20 tahun akan datang.
"Bila dan bagaimana untuk merealisaikannya terpulang kepada badan tersebut (Finas) untuk melaksanakan agenda berkenaan.
"Ia seperti cuba memenangi pingat emas di Olimpik - mesti ada sasaran, program, perancangan dan bilakah kita akan mencapai sasaran itu," katanya.
Saifuddin berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja beliau di Finas, Petaling Jaya, hari ini. Hadir sama Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Meskipun bukan menteri pertama yang mengutarakan impian tersebut, Saifuddin berkata sudah sampai masanya Finas memulakan gerak kerja untuk Oscar termasuk menyediakan peruntukan serta strategi jangka panjang dengan menjadikan Korea Selatan dan India sebagai inspirasi.
Serah Finas untuk laksanakan
"Korea Selatan mengambil masa 30 tahun untuk diiktiraf di Oscar, justeru mari susun strategi, kira bajet dan sebagainya," katanya.
Untuk rekod, Parasite yang diarahkan Bong Joon-ho memenangi Oscar bagi kategori filem terbaik Oscar tahun lalu, manakala Slumdog Millionaire (Danny Boyle) memenangi anugerah paling berprestij itu pada 2009.
Pada sidang media berkenaan, Saifuddin turut menggariskan tiga pelan bagi merancakkan lagi industri perfileman tanah air.
Beliau berkata, selain Projek Oscar, Finas diminta membangunkan industri filem secara keseluruhan. Syarikat produksi dan juga bakat yang berpotensi juga perlu diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
"Finas perlu memajukan industri secara keseluruhan melalui pembangunan rumah produksi, pengarah, bakat pelakon dan juga penulis skrip. Misalnya yang sudah ada nama tetapi masih belum sampai ke Oscar. Individu seperti ini masih boleh dimajukan lagi dan perlu dibantu," katanya.
Selain itu, Saifuddin berkata, sebagai projek inkubator, KKMM menyerahkan kepada Finas untuk melaksanakannya, manakala kategori terakhir ialah kategori khas bagi menghasilkan filem yang boleh menyuntik semangat patriotisme.
“Projek Khas dibuat untuk kepentingan negara, tak menang Oscar pun tak apa tapi ia bawa tujuan khusus seperti dalam negeri untuk tingkatkan jati diri, dan di luar negara ia boleh tingkatkan semangat patriotisme.
"Mengambil contoh filem Omar Mukhtar (judul sebenar ialah Lion Of The Desert) dari Libya, ia diterbitkan sekitar 1981 bagi penduduk negara berkenaan.
"Filem tersebut melambangkan patriotisme tetapi bagi penonton luar negara ia berkisahkan perjuangan menentang penjajah.
“Memandangkan tahun ini adalah ulang tahun ke-50 Rukun Negara, mungkin naskhah berkenaan boleh memberi inspirasi kepada penerbit untuk menghasilkan lebih banyak filem berunsur sedemikian,” katanya.
Bagaimanapun, Saifuddin menegaskan bahawa KKMM tidak akan menggunakan geran sedia ada untuk merealisasikan projek terbabit.
"Finas tak akan mengusik mana-mana geran yang sedia ada kerana ia akan digunakan untuk membaik pulih industri filem dan drama bagi tempoh enam bulan akibat terjejas daripada Covid-19," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai