Skip to main
Logo Malaysiakini

Malaysia Airports: Maaf, Nourul Wahab

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Malaysia Airports telah mengambil tindakan tatatertib ke atas seorang petugas Keselamatan Penerbangan (AVSEC), susulan laporan berhubung kelakuan biadab petugas itu terhadap penyanyi, Nourul Wahab, ketika cuba memasuki terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menghantar ibu bapa mentuanya, Sabtu lepas.

"Malaysia Airports tidak akan membiarkan begitu sahaja sikap biadab mana-mana kakitangannya," kata syarikat pengendali lapangan terbang itu dalam satu kenyataan hari ini.

Malaysia Airports berkata pihaknya telah menjalankan siasatan segera setelah menerima maklumat kejadian itu, selain turut mengesahkan kejadian berkenaan adalah seperti yang dilaporkan.

 Syarikat itu turut memohon maaf kepada Nourul atau nama sebenarnya, Noorul Huda Abdul Wahab dan keluarganya atas kejadian yang dikesali itu.

Pihak berkenaan juga mengingatkan penumpang untuk merujuk di laman webnya untuk pertanyaan yang sering diajukan (FAQ) berhubung kebiasaan baharu semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sabtu lepas, Nourul memuat naik video di laman Facebooknya meluahkan kekesalan terhadap sikap seorang petugas AVSEC di KLIA, yang didakwa bercakap kasar dan bersikap kurang ajar dengannya ketika penyanyi itu bersama suaminya ke lapangan terbang berkenaan untuk menghantar ibu dan bapa mentuanya pulang ke Perancis.

-Bernama