Skip to main
Logo Malaysiakini

Badan kurus bukan sebab ambil dadah, kata Ayie

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penyanyi kumpulan Floor 88, Ayie berkata keluarga menjadi saksi dia tidak pernah mengambil sebarang bahan terlarang seperti tuduhan yang dibuat segelintir pihak.

Ayie membuat penafian demikian selepas ada warga maya mendakwa dia terbabit dengan dadah ekoran saiz tubuhnya yang kurus.

“Hanya keluarga benar-benar yakin dan percaya saya tak pernah sentuh bahan terlarang terbabit. Saya membesar depan mata mereka.

“Keluarga tahu siapa saya dan faham apa saya selalu buat. Mereka juga tahu saya sentiasa berusaha untuk menaikkan berat badan melalui pemakanan dan vitamin,” katanya.

Ayie atau nama sebenarnya Nik Fadlee Elhamshah ditemui ketika sesi pengenalan telefilem terbaru lakonannya, Rock Sampai Jannah di Ampang, Selangor semalam.

Turut hadir ialah pengarah Jurey Latiff Rosli dan penerbit Mohd Hafizuddin.

Telefilem terbitan Khalisya Consultant Sdn Bhd itu dijangka disiarkan pada hari raya Aidil Adha tahun depan.

Mengulas lanjut, Ayie berkata sejak dari dulu lagi dia memang memiliki badan yang kecil walaupun pelbagai cara telah dicubanya untuk mendapat tubuh yang ideal.

Justeru, bagi membuktikan kepada orang ramai bahawa dakwaan dilemparkan terhadapnya salah, penyanyi lagu Yang Benar itu berkata dia secara sukerala telah menjalani ujian selain mengikuti kempen Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) tahun lalu.

“Kami (anggota Floor 88) berjumpa AADK bagi melakukan ujian air kencing dan terbukti keputusan adalah negatif.

“Kami juga rela bekerjasama dengan AADK bagi memastikan semua anggota kumpulan bebas dadah.

"AADK kemudian tawarkan Floor 88 untuk menjadi ikon Antidadah bagi sesi 2019/2020 yang sekaligus membersihkan tanggapan negatif ke atas kami,” katanya lagi.

Ditanya berkenaan perasaannya selepas mendengar tuduhan itu, Ayie berkata dia sedikit pun tidak berkecil hati atau menyimpan dendam.

Katanya lagi, sudah lama dia mendengar cakap-cakap yang tidak baik tentang dirinya berkenaan dadah iaitu sejak awal pembabitan bersama Floor 88.

“Saya tak kecil hati sebab sejak dulu lagi orang ramai asyik bertanya mengenai saiz fizikal yang dilihat terlalu kurus.

“Saya juga tak kisah sebab memang tak pernah terjebak atau membabitkan diri dengan sebarang aktiviti berkaitan dadah,” katanya lagi.