Skip to main
Logo Malaysiakini

Faizal anggap Malim Ghozali PK seperti bapa sendiri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu menganggap pemergian sasterawan Dr Mohamed Ghazali Abdul Rashid atau nama penanya Malim Ghozali PK sebagai kehilangan besar buat dirinya, selain bagi dunia sastera negara.

Faizal berkata, secara peribadi dia menganggap Mohamed Ghazali seperti bapanya sendiri.

“Bagi pihak kerajaan negeri dan seluruh rakyat Perak, saya dengan perasaan penuh hiba dan pilu, mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham sasterawan Perak, Dr Mohamed Ghazali Abdul Rashid atau nama penanya Malim Ghozali PK.

“Pemergian beliau yang mesra disapa sebagai Pak Malim bukan sahaja satu kehilangan besar kepada bidang sastera negara, tetapi juga kepada diri saya secara peribadi.

“Saya sangat rapat dengan Allahyarham Pak Malim, malah menganggap beliau bagaikan ayah saya sendiri. Pastinya kita akan terus menyanjungi karya-karya ulung beliau yang telah menjadi sebahagian daripada khazanah agung bidang sastera negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamed Ghozali dilaporkan meninggal dunia selepas menjalani pembedahan membuang tumor di Hospital Serdang, jam 11.20 pagi tadi.

Allahyarham meninggalkan dua balu dan enam anak.

Malim dinobatkan kerajaan negeri Perak sebagai Sasterawan Perak ketiga pada 13 Disember 2014 selepas Suhaimi Muhammad (1987) dan Mana Sikana @ Dr Abdul Rahman Hanapiah (2004).

Setahun sebelumnya, beliau menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) 2013.

Dalam pada itu, Faizal menggesa umat Islam untuk menyedekahkan bacaan al-Fatihah buat Allahyarham.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau, dihimpunkan bersama-sama mereka yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-baik ganjaran syurga.

“Kita doakan agar keluarga Allahyarham Pak Malim dikuarniakan ketabahan dalam menghadapi ujian yang berat ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Naib Pengerusi Amanah Perak Dr Muhaimin Sulam turut merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Mohamed Ghozali.

“Amanah mendoakan semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan mendoakan kekuatan ahli keluarga arwah dengan kesabaran dan kekuatan,” katanya.

Mohamed Ghazali menghasilkan pelbagai jenis sastera, antara karya-karya terbaiknya adalah novel Redang, diterbitkan pada 1988, Janji Paramaribo (1990), koleksi cerpen, Usia (2006), puisi Gemaruang (1987) dan Fantasi Malam (2007).