Skip to main
Logo Malaysiakini

Jalan lurus dan bengkok menuju Oscar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Saya terpanggil untuk memberi sedikit komen tentang kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah tentang hasrat kerajaan mengalakkan pengarah filem tempatan untuk menang Oscar.

Jalan menuju ke Malam Anugerah Oscar ada jalan yang lurus dan jalan yang bengkok.

Ramai pengarah filem di Hollywood juga menghadapi masalah dan rintangan untuk mencapai ke tahap mendapat pencalonan untuk Oscar dalam apa bidang pun, bukan untuk filem terbaik saja.

Dekan saya menang dua Oscar untuk pengarah filem terbaik – Milos Forman (bawah) untuk filem One Flew Over The Cuckoo’s Nest dan Amadeus.

Dia menang semasa saya belajar di Institut Teknologi Mara (ITM), sebelum saya lanjutkan pendidikan di peringkat sarjana dalam bidang pengarahan filem di Universiti Columbia di bandar raya New York.

Dan kali kedua semasa saya baharu sahaja pulang ke tanah air.

Saya pernah pergi ke lokasi penggambaran filem awalnya iaitu Ragtime di Lower Manhattan dalam musim panas tahun 1980 dan dapat lihat rakan sedarjah saya turut terlibat dengan penggambaran filem ini.

Dan rakan sedarjah saya, Ron Nyswaner pernah mendapat pencalonan Oscar untuk lakon layar terbaik untuk filem Philadelphia. Pelakon utamanya Tom Hanks dapat anugerah Oscar.

Dan semasa dalam kuliah juga pensyarah saya ada menang anugerah Emmy untuk penyuntingan dokumentari terbaik.

Tetapi di Amerika, mereka yang menang anugerah besar seperti itu jarang digembar-gemburkan.

Dan apabila pensyarah saya balik ke kelas keesokan harinya, tidak seorang pun yang mengucap tahniah. Sekolah filem saya juga tidak ada sebarang acara meraikan kemenangannya.

Bukan filem terbaik saja

Malam Anugerah Oscar diadakan pada awal bulan Mac atau April setiap tahun.

Dan Malam Anugerah Oscar ke-93 pula akan diadakan dua bulan lewat iaitu pada Jun 2021 angkara serangan virus Covid-19.

Sepatutnya Saifuddin boleh galakkan pengarah filem tempatan untuk menang anugerah Oscar untuk semua bidang dan bukan khas untuk filem terbaik saja, sebab kemungkinan ini berlaku sukar.

Tiga tahun lalu (2017) saya berdiri di luar Dolby Theatre melihat acara karpet merah.

Sehari sebelum itu, saya pergi ke Dolby Theatre dan dapat masuk hingga ke pintu depan dewan yang ditutup.

Laluan ke dewan itu ditutup dengan plastik putih, untuk menutup karpet merah yang sebenarnya bukan berwarna merah.

Ia kelihatan merah dalam televisyen apabila dipancar oleh cahaya, tetapi ungu pada mata.

Seluruh kawasan di sekeliling Dolby Theatre ditutup dengan pagar tinggi yang didirikan untuk menghalang orang awam masuk ke dalamnya pada Malam Oscar.

Khemah di mana acara karpet merah diadakan telah dirikan.

Dan beberapa bulan sebelum itu, dalam tahun 2016 saya sempat masuk ke dalam Dolby Theatre - buat lawatan dalam dan di belakangnya.

Ada gambar-gambar pelakon dan pembuat filem yang menang anugerah Oscar pada tahun itu diletak atas kerusi di mana mereka duduk.

Untuk Malaysia idamkan pengarah filem capai piala Oscar sebenarnya tidak sukar.

Apa yang perlu diadakan ialah sedikit penyelidikan untuk mengkaji jenis filem dan trend yang diterima dan disukai oleh pengundi Academy of Motion Pictures Arts and Sciences (Ampas) yang membuang undi untuk pilih pemenang Oscar setiap tahun.

Cedok filem Hollywood

Kemenangan filem Korea Selatan iaitu Parasite berlaku tanpa sengaja. Dan sudah pasti pengarahnya tidak tahu yang filemnya akan mendapat pengiktirafan di Pesta Filem Cannes sebelum diiktiraf pada Malam Oscar.

Dan salah kalau sesiapa kata untuk menang Oscar sesebuah filem itu mesti mahal.

Filem Iran berjudul, A Separation dan The Salesman arahan Asghar Farhadi dan Parasite arahan Bong Joon-ho juga tidak kelihatan mahal dibuat.

Filem Iran rata-rata mempunyai AS$500,000 sahaja dan ia kutip AS$16 juta.

Antara babak dalam Parasite

Kos untuk menerbit filem ini lebih rendah berbanding dengan kos penerbitan beberapa buah filem Malaysia, yang tidak ke mana dan ditayang di pawagam tempatan sahaja.

Masalahnya filem Melayu khususnya tidak ada perspektif falsafah berbanding dengan filem Iran dan Korea Selatan itu.

Malahan kebanyakan filem Melayu tidak ada cerita yang asal dengan kebanyakannya lebih merupakan cedokan daripada cerita Hollywood sendiri!

Kursus perfileman yang diberi oleh universiti tempatan juga tidak menekankan keperluan menonjolkan cerita asal dengan falsafah tebal yang tidak pernah wujud dalam filem atau sinema dunia.

Dan daripada sinopsisnya sahaja pihak Ampas sudah tidak tertarik dengan filem Melayu.

Akhirnya pilihan yang Finas ada untuk mengalakkan pengarah filem tempatan untuk menang Oscar dengan memilih jalan yang lurus atau jalan yang bengkok?

Kita boleh bertolak dari gesaan dan hasrat menteri dan KKMM untuk melihat pengarah filem kita menang Oscar.

Dan kita juga tidak perlu untuk tunggu 20 atau 30 tahun untuk melihat sebuah piala Oscar dibawa ke Malaysia.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.