Skip to main
Logo Malaysiakini

Pameran foto Covid-19 pertama di Publika

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pameran fotografi Covid-19 pertama di Malaysia dilancarkan hari ini, hasil kerjasama antara Fergana Art dan Publika Shopping Gallery.

Pameran yang diadakan di Publika Shopping Center itu menampilkan sejumlah 110 karya rakaman 60 jurugambar daripada kolektif wartawan foto The Biddy's termasuk Azneal Ishak dan Mukhriz Hazim daripada Malaysiakini.

"Pameran ini merupakan hasil proses pemilihan menyeluruh daripada lebih 1,000 gambar yang dirakam 75 jurufoto.

"Ia pameran pertama di negara ini yang melibatkan norma baru dalam mengendalikan pemaparan karya seni dengan langkah-langkah penjarakan sosial yang dilakukan di sekitar pameran," kata pusat membeli-belah itu dalam satu kenyataan.

Pengasas Fergana Art, Jaafar Ismail (gambar, bawah, kiri) berkata, pameran tersebut membantu mendokumentasikan wabak Covid-19 yang kini menjadi sebahagian daripada sejarah Malaysia.

"Covid-19 adalah pandemik virus global dalam kelas yang sama dengan Flu Sepanyol pada tahun 1918; oleh demikian ia merupakan suatu kejadian yang memerlukan dokumentasi.

"Kami memilih kewartawanan foto - visual dan tekstual - sebagai jendela untuk menceritakan fenomena berkenaan kerana ia secara meluas dianggap sebagai deraf pertama sejarah," katanya.

Pameran tersebut dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

Pameran ini bukan hanya dokumentasi untuk tatapan generasi akan datang, tetapi, katanya ia juga merupakan penghormatan terhadap pihak yang berkorban demi kesihatan dan keselamatan seluruh rakyat Malaysia.

Pameran berlangsung dari 13 Jun hingga 30 Jun dari 10 pagi hingga 10 malam.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.