Skip to main
Logo Malaysiakini

Sugu Pavithra belum sedia keluar TV

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pasangan Youtuber Sugu Pavithra mempunyai pandangan berbeza berhubung keputusan untuk muncul di kaca televisyen selepas popular di media sosial YouTube.

Dalam satu temu bual bersama sebuah majalah, Sugu yang juga suami kepada Pavithra berkata buat masa ini mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada YouTube dan perniagaan berasaskan makanan.

“Kami belum berminat untuk keluar TV. Bukan sombong tapi selesa dengan cara begini,” katanya dalam temu bual bersama majalah Pepatung.

Sebelum ini tular di media sosial dan juga portal berita bahawa pasangan itu mengenakan bayaran sebanyak RM10,000 jika ingin menggunakan khidmatnya di kaca televisyen selama satu jam.

Sebaik tular di media sosial pasangan itu menerima kritikan netizen kerana meletakkan harga yang tinggi.

Bagaimanapun Sabtu lalu, Mstar Online melaporkan pengacara Anim Ezati Rizki tampil menjelaskan situasi berkenaan berhubung perkara itu.

Anim berkata tawarannya kepada Youtuber itu tidak membabitkan mana-mana stesen televisyen.

Bahkan katanya, dia juga tidak memaksa Pavithra untuk menerima tawaran yang dikemukakannya itu.

Pavithra, 28, mencuri perhatian rakyat Malaysia susulan kemahiran memasak, kefasihannya menggunakan bahasa Melayu, kebersihan rumah dan dapurnya, serta sifat rendah diri dan sopan santunnya.

Bakatnya turut mendapat perhatian Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang menghadiahkannya kelengkapan memasak serta tripod untuk memudahkannya merakam video.

Berbeza dengan Sugu, Pavithra lebih terbuka dengan pelawaan daripada stesen-stesen televisyen dan liputan media.

Dia faham semua itu dapat memberi manfaat kepada kerja mereka sekarang.

“Saya tak ada masalah untuk keluar TV, tetapi mestilah dengan keizinan suami.

"Buat masa sekarang dia masih tak benarkan. Jadi saya ikut sahaja yang terbaik. Kami pun masih baru dalam bidang ini. Banyak lagi perlu belajar,” kata Pavithra.