Skip to main
Logo Malaysiakini

Rihanna, Billie Eilish antara selebriti gesa 'pembersihan' institusi polis AS

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sejumlah selebriti berstatus "A-list" seperti Rihanna dan Billie Eilish menandatangani surat terbuka bagi menggesa 'pembersihan' institusi polis di Amerika Syarikat, selepas kematian warga kulit hitam George Floyd yang mencetuskan tunjuk perasaan Black Lives Matter.

Mereka menjalin kerjasama dengan syarikat rakaman seperti Sony Music Group, Universal Music Group dan Warner Music Group bagi menyokong perangkaan Akta Keadilan Kepolisan 2020.

Surat terbuka itu antara lain menyebut: "Sejak pembunuhan Floyd bulan lalu, negara kita menyaksikan peningkatan protes, perubahan sikap, dan seruan untuk perubahan juga meningkat.”

Surat itu juga berkata komuniti muzik percaya bahawa kehidupan warga kulit hitam adalah penting dan telah sekian lama menyuarakan tenntang ketidakadilan yang dihadapi golongan itu generasi demi generasi.

“Kami lebih bertekad daripada sebelum ini untuk mendorong program penguatkuasaan undang-undang persekutuan, negeri dan tempatan agar benar-benar berkhidmat untuk komuniti mereka.

“Kami berterima kasih untuk gerakan untuk Akta Keadilan Kepolisan 2020 di Dewan Perwakilan AS dan mendesak agar ia dibahaskan dengan segera," kata surat itu lagi.

Antara selebriti lain yang turut menandatangani surat tersebut ialah Mariah Carey, Ariana Grande, Post Malone dan the Jonas Brothers.

Floyd meninggal dunia selepas seorang anggota polis, Derek Chauvin menekan lehernya dengan lutut selama hampir sembilan minit sewaktu membuat tangkapan.

Dia telah dipecat daripada pasukan itu dan dihadapkan dengan tuduhan membunuh tahap kedua. Tiga lagi pegawai polis pula berdepan tuduhan bersubahat.

Kongres AS ketika ini melobi untuk menyemak semula undang-undang yang mengatur badan kepolisan dan kewibawaannya. Proses itu dipergiat selepas kes Floyd mencetuskan gelombang demonstrasi besar-besaran di sana.

Kata surat itu lagi, akta tersebut bukan sekadar perubahan kecil, tetapi memerlukan langkah yang berani agar berlakunya perubahan nyata dan positif dalam penguatkuasaan undang-undang.

"Kami meraikan penolakan terhadap kekebalan yang sepatutnya sudah dibuat lama dahulu, menekankan bahawa pegawai penguatkuasa tidak melangkaui undang-undang - polis yang melakukan kesalahan perlu dipertanggungjawabkan dan mangsa perlu diberi jalan (untuk mendapat keadilan)."

Kata mereka, akta itu juga untuk menetapkan standard nasional untuk operasi jabatan polis, mandat untuk pengumpulan data berkenaan penahanan atau pertembungan antara polis dengan warga serta memperkemas undang-undang persekutuan untuk mendakwa kekerasan berlebihan.

"Negara dan komuniti kita mengharapkan anda untuk mengambil pendirian di saat yang luar biasa ini dan kami dengan hortmatnya meminta agar anda mengundi 'sokong' untuk Akta Keadilan Kepolisan 2020," kata surat itu lagi.