Skip to main
Logo Malaysiakini

Khir-Ogy terus kerjasama walau ada kisah ‘bayaran tertangguh’

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pelakon dan pengarah Khir Rahman memilih bersikap profesional untuk bekerjasama dengan Fauziah Ahmad Daud bagi penggambaran sebuah telefilem baru.

Langkah itu diambil walaupun beliau belum menerima bayaran bagi pementasan teater yang diterbitkan syarikat Fauziah atau lebih dikenali sebagai Ogy sebelum ini.

"Saya suka bekerja dalam suasana yang positif. Malah, apa yang sudah berlaku di antara saya dengan kak Ogy sebelum itu tidak ada kena-mengena langsung dengan projek lakonan kami dan syarikat produksi terbabit.

"Jadi, saya kena bekerja dengan profesional. Alhamdulillah, saya dan kak Ogy dapat bekerjasama sebaiknya melaksanakan tugas dan tanggungjawab kami menyiapkan penggambaran telefilem itu," katanya dipetik Harian Metro.

Pada pertengahan Mac lalu, Fauziah sebagai pemilik produksi Ogy Ventures & Network dilapor gagal melunaskan pembayaran pada pelakon dan tenaga kerja Korupsi Dewan Semandung terbitannya.

Khir bertindak sebagai pengarah teater itu.

Khir dan Fauziah bergandingan dalam telefilem sempena Aidiladha - Pencipta Pegang Waktu - arahan Zainorhisyam untuk TV3.

Penggambaran itu dilaksanakan baru-baru ini.

Menurut Khir atau nama penuhnya Khairulizam Abdul Rahman, penggambaran telefilem berkenaan sebenarnya sudah lama tertangguh akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ditanya mengenai hutang Fauziah dengannya, Khir berkata, hingga kini, dia masih lagi belum menerima bayaran penuh.

‘Saya yakin dia nak bayar’

Namun, dia mampu bersabar kerana melihat Fauziah mempamerkan usaha dengan melakukan pelbagai kerja untuk mengumpul wang bagi melunaskan hutang terbabit.

"Sebagai individu matang, saya tidak boleh terlalu mengikut emosi dan perasaan marah atau bengang memikirkan hutang itu. Apatah lagi, saya melihat kak Ogy sangat berusaha dengan pelbagai cara untuk mengumpulkan wang.

"Saya yakin dia nak membayar hutangnya pada saya dan semua kru produksi teater itu yang belum mendapat bayaran, tetapi, dia masih perlukan masa," katanya.