Skip to main
Logo Malaysiakini

Lepas dapat hak jumpa anak, Sharnaaz dah tak minta yang lain

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

“Demi Allah, setiap perjuangan saya dalam isu rumah tangga ada berkait rapat pasal anak, Jebat Jayden,” demikian penegasan dibuat Sharnaaz Ahmad berhubung kes tuntutan cerai yang difailkan isterinya, Noor Nabila Mohd Noor sebelum ini.

Justeru, kata pelakon itu, apabila tiada lagi perkara yang ingin "diminta" ketika ini, dia sudah bersedia secukupnya dengan apa saja keputusan mahkamah yang bakal ditentukan dalam waktu terdekat.

“Sekarang saya dah dapat apa yang saya dikehendaki, justeru nak minta apa lagi? Perkahwinan jatuh nombor dua sebabnya perempuan akan datang dan pergi dari hidup anda, tapi bukan anak.

“Anak ni kita akan jaga bertahun-tahun,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kafe Bubble Bee miliknya di Danau Kota, Kuala Lumpur semalam.

Bagaimanapun, Sharnaaz atau nama penuhnya Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad memilih untuk merahsiakan tarikh perbicaraan mahkamah tersebut.

Dia mendirikan rumah tangga bersama Noor Nabila pada 31 Mac 2017. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Jebat Jayden Ahmad yang kini berusia hampir dua tahun.

Noor Nabila memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 27 Ogos tahun lalu.

Ibu 100 peratus baik

Bagaimanapun, pelakon Darah Panas itu tidak bersetuju dengan permohonan Noor Nabila lalu mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak melantik jawatankuasa pendamai bagi mencari kesepakatan.

Sharnaaz kemudian memfailkan permohonan nusyuz terhadap isterinya itu pada 30 September tahun lalu.

Mengulas lanjut, Sharnaaz, 34, berkata keutamaannya ketika ini adalah untuk memberikan sepenuh kasih sayang kepada Jebat.

Dia juga meluahkan perasaan syukur apabila diberi kesempatan oleh kakak Noor Neelofa itu untuk menjenguk selain meluangkan masa sekurang-kurang tiga kali sehari bersama Jebat.

“Saya tak anggap tu sebagai beban, tapi mula-mula memang terasa lain apabila terpaksa berpisah dengan anak. Jika saya tak jumpa Jebat lebih lima jam, saya rasa macam ada yang tak betul.

"Apabila dia (Noor Nabila) beri keizinan, saya amat berterima kasih. Sekarang saya boleh bawa Jebat keluar tanpa ada halangan dan Nabila juga masih dapat menerima kehadiran saya sebagai bapa Jebat," katanya.

Tambah Sharnaaz walaupun membawa isu rumah tangga mereka ke mahkamah dan ada permohonan cerai dikemukakan, ketika ini mereka masih belum bercerai.

“Kami masih berkawan dengan niat untuk membesarkan Jebat secara baik. Dia (Noor Nabila) juga seorang ibu yang 100 peratus baik untuk Jebat,” katanya.