Skip to main
Logo Malaysiakini

Selepas Kuasa Cintamu buat Aafiyah, Siti menanti anak kedua

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Manifesta Siti 2020 bukan sekadar dihadirkan untuk mengubat rindu peminat selepas tiga tahun penyanyi nombor satu negara, Siti Nurhaliza Tarudin tidak hadir dengan sebarang buah tangan terbaru.

Kata Siti, antara 11 buah lagu dimuatkan dalam album solo ke-18 itu, terdapat sebuah lagu yang didedikasikan untuk anak perempuannya, Siti Aafiyah Khalid, yang kini sudah mencecah usia dua tahun.

“Ada sentuhan peribadi saya dalam Kuasa Cintamu. Liriknya ditulis khas untuk Aafiyah. Ia berkisahkan bagaimana penantian saya sebelum ni untuk mendapatkan anak.

“Saya luahkan segala emosi dalam lirik. Ia yang menjelaskan bagaimana saya bersyukur apabila doa untuk menimang anak dimakbulkan Allah,” katanya mengenai lagu ciptaan penyanyi dan komposer Indonesia, Melly Goeslaw itu.

Siti ditemui pada majlis pelancaran Manifesta Siti 2020 di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Siti, 41, dia mengambil masa hanya sehari bagi menyiapkan lirik berkenaan.

“Taklah lama sangat, cuma dalam sehari untuk siapkan,” katanya.

Album berkenaan menempatkan lagu pelbagai genre selain membariskan ramai komposer dan penulis lirik terkenal.

Selain Melly, ia turut menampilkan sentuhan Hael Husaini, Ippo Hafiz, Ikhwan Fatanna, Ahmad Fedtri Yahya dan Hafiz Hamidun.

Sementara itu, mengulas usahanya untuk mendapatkan zuriat kedua, Siti berkata, hasrat itu akan diteruskan dan dia bersedia walau apa pun rintangan yang mendatang.

“Perancangan untuk mendapatkan anak kedua akan diteruskan sama ada menerusi kaedah rawatan ataupun secara normal.

“Siti sudah bersedia dan perkara ni tak boleh dilengah-lengahkan lagi,” katanya.

Februari lalu, Siti menjalani pembedahan kecil di sebuah pusat perubatan swasta melalui prosedur persenyawaan in-vitro (IVF) seperti dilakukan ketika mengandungkan Siti Aafiyah sebelum ini.