Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak manis jadi orang tengah masalah rumah tangga lain, kata Erra

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Erra Fazira berpendapat "tidak manis"untuknya bertindak menjadi orang tengah bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga di antara bekas suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin dengan Laudya Cynthia Bella.

Penyanyi dan pelakon terkenal itu berkata, meskipun hubungannya dengan Laudya boleh disifatkan baik, pada kebanyakan masa mereka berdua hanya bersembang perihal wanita dan anak saja secara umum.

“Saya tak nak jadi orang tengah, tak manis.

“Sebagai wanita, kami ada berbicara melalui teks pesanan ringkas namun tidak terperinci, ia banyak berkisahkan soal wanita dan selebihnya mengenai anak.

“Walaupun rapat, kami tak berhubungan lagi bila dia pulang ke Jakarta,” katanya.

Erra berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelantikan dirinya sebagai duta produk penjagaan rambut, Faith Fleur, di Menara Kuala Lumpur semalam.

Spekulasi keretakan rumah tangga Engku Emran dengan Laudya akhirnya terjawab selepas aktres terkenal Indonesia itu mengaku sudah bercerai dalam sesi temu bual melalui portal berita republik berkenaan, Insertlive.com.

Akan zip mulut

Pelakon Di Bawah Lindungan Ka'bah itu juga mengaku proses perpisahan antara mereka dilakukan secara baik.

Mengulas lanjut, Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek berkata, adalah tidak wajar untuk dia mencampuri urusan rumah tangga bekas suaminya walaupun mengetahui sedikit-sebanyak krisis awal yang terjadi.

“Tipulah jika saya cakap tak tahu pergolakan yang berlaku. Mereka juga tak pernah bercerita mendalam.

“Saya cuma tahu pada permukaan, tapi bukan tugas saya untuk korek atau bertanyakan lebih lanjut.

“Saya tak mahu mencampuri urusan rumah tangga sesiapa waima bekas suami. Jika mereka tak buka cerita, saya juga akan zip mulut,” katanya.

Erra, 46, percaya setiap yang berlaku mempunyai hikmah apatah lagi tiada sesiapa yang mahu rumah tangga mereka berakhir dengan penceraian.

“Semua orang tak mahu bercerai-berai, tapi mereka berdua sudah cuba menyelematkan perkahwinan tersebut, namun ni semua adalah ketentuan Allah.

“Dalam setiap kepahitan, ada kemanisan... Allah nak uji, kita sebagai manusia harus bersabar,” katanya.

Sementara itu, mengulas pelantikannya sebagai duta, Erra berkata dia bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk menjalankan tanggungjawab berkenaan.

Pengacara program bual bicara Mingguan Wanita di Astro itu percaya rezeki tidak pernah salah alamat.

“Pada akhirnya saya percaya ia berbalik kepada soal rezeki. Soal aktif atau tak atau persaingan dengan artis generasi baru itu semuanya bersifat subjektif.

“Apabila rezeki berpihak kepada kita, maka ia disambut dengan hati yang terbuka. Sekaligus mensyukuri nikmat diberi.

“Untuk masih dipandang relevan hingga diberi kesempatan menjadi wakil jenama produk, saya berterima kasih kepada mereka yang memberi kepercayaan,” katanya.