Skip to main
Logo Malaysiakini

Naya Rivera selamatkan anak sebelum lemas, kata sherif

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Anak Naya Rivera memberitahu pihak berkuasa bahawa pelakon Glee itu sempat menyelamatkannya sebelum tenggelam ke dalam tasik ketika mereka bersiar-siar menaiki bot pada Rabu minggu lalu.

Sherif Ventura County Bill Ayub berkata, mayat Naya ditemui di sebuah tasik di Selatan California hari ini.

“Dia pasti telah menggunakan seluruh tenaga untuk membawa anaknya naik ke bot tetapi tak mencukupi untuk menyelamatkan nyawanya sendiri,” katanya dipetik ABC News.

Ayub berkata, anak Naya, Josey Hollis Dorsey, 4, ditemukan dalam keadaan tertidur dan bersendirian dengan memakai jaket keselamatan dalam sebuah bot yang hanyut di Tasik Piru, selepas kira-kira tiga jam operasi mencari mereka dimulakan.

Penemuan itu memulakan misi mencari Maya yang berlanjutan selama lima hari sebelum mayatnya ditemui dalam keadaan terapung di tasik tersebut yang terletak di barat laut Los Angeles.

Menurutnya, kedua-dua beranak itu pergi berenang pada 8 Julai lalu di kawasan yang dibenarkan di tasik berkenaan. Bagaimanapun, Naya tidak memakai jaket keselamatan.

Kata Bill lagi, Naya dipercayai lemas dan mayatnya berkemungkinan terperangkap di dasar tasik selama beberapa hari sebelum timbul di permukaan.

Difahamkan penyelamat telah menjalankan pencarian di kawasan aktres terbabit ditemui namun pokok renek yang tumbuh meliar di situ mungkin mengakibatkan mayatnya tidak dapat dilihat di dalam air yang keruh.

Menurutnya, anggota keluarga Naya sempat berbual dengan mendiang melalui FaceTime sebelum dia naik bot.

Kumpulan penyelamat turut menonton video terakhir pada rakaman kamera pengawasan yang memaparkan kelibat Naya bersama anaknya bagi mencari petunjuk, katanya lagi.

“Ini adalah saat sukar buat keluarganya untuk berdepan dugaan. Kami turut berdukacita,” katanya.

Bill berkata, mayat Naya diterbangkan dengan helikopter sejauh 64 kilometer ke pejabat koroner di Ventura untuk bedah siasat serta pengesahan rasmi.

Pihaknya turut memaklumkan, lokasi mayat ditemukan selain tiada laporan individu lain hilang di kawasan sama menyakinkan pihaknya bahawa mayat tersebut adalah Naya.

Sehari sebelum kematiannya, Naya menciap imej dia dan anaknya di Twitter dengan kapsyen berbunyi: “Hanya kita berdua.”

View this post on Instagram

just the two of us

A post shared by Naya Rivera (@nayarivera) on