Skip to main
Logo Malaysiakini

Ejen Ali The Movie disenarai pendek untuk anugerah animasi antarabangsa

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ejen Ali The Movie terpilih dalam senarai akhir 16 karya yang bakal bertanding untuk kategori Filem Animasi Terbaik Festival Filem Cartoons on the Bay Anugerah Pulcinella ke-24, yang dijadual berlangsung di Pescara, Itali pada 3 hingga 5 Disember ini

Primeworks Studios dan WAU Animation dalam satu kenyataan memaklumkan, filem tersebut berjaya ditempatkan sebaris dengan lebih 350 karya animasi hebat dari 20 buah negara dalam acara berprestij berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Ahmad Izham Omar berkata ia merupakan penghormatan besar kepada pihaknya dan juga Malaysia.

“Ia menjadi titik tolak kejayaan yang membanggakan filem ini kerana dapat berada seiring dengan pengkarya kreatif animasi terbaik antarabangsa yang lain.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada rakan karya kami di WAU Animation di atas pencapaian mereka dalam menghasilkan dunia animasi yang unggul dengan penceritaan indah yang dilihat dalam filem ini,” katanya.

Ejen Ali The Movie yang diterbitkan susulan dari kejayaan siri animasi televisyen Ejen Ali yang mula bersiaran pada tahun 2016, berjaya meraih kutipan lebih daripada RM30.8 juta dalam carta pecah panggung Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Kejayaan itu sekaligus menjadikannya sebagai filem pilihan nombor satu di Malaysia pada tahun lalu.

Festival Cartoons on The Bay mula diperkenalkan pada tahun 1996 untuk mendedahkan himpunan karya animasi Itali. Ia mula mendapat perhatian dan menjadi antara acara terpenting dalam kalendar industri kanak-kanak antarabangsa.

Panel juri antarabangsa bagi kategori filem pada tahun ini adalah Stefania Ulivi (Wartawan, Corriere della Sera), Arianna Finos (Wartawan, La Repubblica) dan Flavio Natalia (Pengarah dan Wartawan, CIAK).

Ejen Ali The Movie berkisahkan Ali, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun direkrut menjadi perisik bagi sebuah agensi perisikan, dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA) yang berperanan untuk melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar.

Konflik mula timbul apabila Ali mengetahui dia bukanlah satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa Infinity Retinal Intelligence System (IRIS).

Gajet tersebut diubahsuai menjadi IRIS Neo, gajet yang boleh dikawal serta digunakan oleh ejen-ejen lain. Inovasi baharu itu dipersoalkan oleh Ali apabila dia berasa terpinggir dan kedudukannya sebagai ejen istimewa MATA tergugat.

Selain itu, filem itu juga terpilih untuk mewakili negara ke Minggu Filem Asean 2020 yang akan berlangsung di tiga buah kota di Vietnam iaitu di Hanoi, Da Nang dan Bandar Ho Chi Minh.

Acara itu dianjurkan sempena pemilihan Vietnam selaku pengerusi Asean untuk tahun 2020, dengan tujuan memelihara nilai-nilai teras negara Asean melalui karya-karya kreatif.

Sepuluh negara Asean telah diundang untuk mencalonkan filem terbaik mereka melalui pemilihan persatuan filem negara masing-masing selaras dengan tema "Asean Cohesion and Proactive Adaptation.”

Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation dan juga pengarah filem Ejen Ali The Movie, Usamah Zaid Yasin berkata penyertaan filem animasi mereka di festival antarabangsa memang sangat mengujakan.

“Ia menjadi pendorong untuk kami terus berkarya dan mencipta animasi yang lebih baik dan bermutu, lebih-lebih lagi dalam keadaan dunia yang sedang pulih dari wabak Covid-19.

“Kami sangat berbesar hati diiktiraf dan diberi peluang mewakili Malaysia dan sangat teruja untuk melihat reaksi penonton di Itali dan juga Vietnam,” katanya lagi.