Skip to main
Logo Malaysiakini

Menteri harap aktiviti keramaian dapat 'lampu hijau' sebelum sambutan merdeka

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) semakin dilonggarkan, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri berkata beliau berharap aktiviti keramaian boleh diadakan di luar premis dan secara terbuka.

Menurutnya, perkara tersebut sudah dibincangkan dan beliau yakin perancangan itu mampu diberi 'lampu hijau' sebelum sambutan bulan kemerdekaan depan.

"Belum lagi diumumkan prosedur operasi standard (SOP), jika sudah diluluskan ia akan dimaklumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

"Namun, saya harap semua diluluskan secepat mungkin sebelum 31 Ogos supaya kita dapat saksikan program keramaian di luar.

"Perbincangan menunjukkan tanda-tanda ke arah positif. Kita lihat apa akan terjadi pada 31 Ogos nanti. Akan ada program, cuma kita tak tahu di mana tapi ia sesuatu yang menggembirakan sekiranya rakyat Malaysia dapat menyambut keraian seperti ni di luar sesebuah premis," katanya.

Nancy ditemui pada Konsert New Normal di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur hari ini.

Setakat ini, kerajaan sudah menetapkan had maksimum untuk majlis agama, sosial dan rasmi dalam premis diselaraskan dan bergantung kepada kapasiti ruang serta pematuhan penjarakan sosial, bermula 15 Julai lalu.

Bagaimanapun untuk aktiviti luar Nancy berkata, kerajaan masih meneliti SOP bersesuaian yang perlu diambil memandangkan agak sukar untuk mengawal penjarakan sosial orang ramai sewaktu di luar premis.

Mahu Malaysia kembali gembira

"Kebimbangan kita adalah dari sudut penjarakan sosial kerana sukar untuk mengawal aktiviti di luar.

"Jika dalam dewan misalnya, kita boleh kawal melalui kedudukan di kerusi. Kita tak mahu gelombang kedua Covid-19 berlaku," katanya.

Beliau pada masa sama berkata, sudah ada kelulusan diberikan kepada penganjur yang memohon kebenaran untuk mengadakan program atau aktiviti di luar.

"Sudah diluluskan beberapa permohonan untuk pelaksanaan aktiviti seperti konsert dan teater.

"Kita nak tengok Malaysia kembali boleh bergembira, marilah kita berdoa semoga semuanya berjalan lancar," katanya.

Sementara itu, mengulas Konsert New Normal yang bermula hari ini hingga esok itu, Nancy berkata, ia bertujuan memberi gambaran dan implikasi kepada penganjur program mengenai garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan protokol Majlis Keselamatan Negara yang perlu diteliti pihak penganjur sebelum mengadakan program sepanjang PKP Pemulihan dilaksanakan.

"Berdasarkan SOP terkini, Istana Budaya tidak lagi terhad kepada 250 penonton sebaliknya boleh memuatkan seramai 505 orang pada satu-satu masa.

"Ini kali pertama media dijemput bagi menyaksikan sendiri kapasiti Panggung Sari yang boleh memuatkan seramai 1,413 penonton masih boleh dibuka tanpa mengetepikan amalan penjarakan sosial," katanya.