Skip to main
Logo Malaysiakini

Alangkah lucunya negeri dan parlimen ini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Memang sukar untuk diterima akal. Alangkah sayunya melihat kewarasan rakyat yang mahu berpaut pada kebenaran tapi terus-menerus disogok dengan bermacam jenis kejahatan yang dibenarkan.

Shahnon Ahmad dalam karyanya Shit! ada menjeritkan satu gejolak perasaan: “Inilah sebenarnya yang tersemat di hati bilamana aku melangkah masuk untuk bersama dalam barisan bersistem taik itu untuk kelak menyingkirkan taik habis-habisan; diganti dengan sistem akaliah dan sistem naqliah yang selama ini terpendam tanpa sebarang sentuhan kerana memang sistem taik pantang dirujukkan kepada mana-mana sistem yang lain selain berkapukan pada sistem taiknya zaman berzaman itu. Yang paling utama ialah mengnyahkan PM yang selama ini menjadi kepala taik yang mengepalai barisan taik yang busuk dan membusukkan itu.

“Namun bila berada di dalam barisan yang busuk itu, diri kerdil ini ternyata bukan saja terpalit juga taiknya tapi taik itu sendiri terasa menusuk ke dalam menjadikan daging dan darah ini senantiasa semarak dengan tuntutan taik. Beberapa ketika taik itu menusuk dan mencemarkan akaliah dan menjahanamkan naqliah sehingga diri terasa tak ada bezanya lagi dengan ketulan-ketulan taik dalam barisan yang busuk dan membusukkan itu.”

Saban hari rakyat disuguhkan dengan pelbagai jenis kecurangan serta kekotoran untuk diterima sebagai suatu norma kebiasaan. Sampai pada satu tahap rakyat menerima segala ketentuan itu lebih baik, enak dan berkat.

Misalnya melihat rasuah yang keji tetapi kerana ia sudah dilazimkan selapa berpuluh-puluh tahun, akhirnya ia diterima sebagai satu norma hidup.

Shahnon dalam petikan tersebut ada menyebutkan dua unsur penting yang menurutnya telah sekian lama ditenggelamkan oleh sistem politik kepartian. Dua unsur yang sengaja ditekankan oleh sasterawan negara itu adalah akliah yang bermaksud fikiran, dan naqliah yang membawa erti nas dan hujah.

Banyak yang berlaku di luar dugaan. Antaranya, melihat wakil-wakil rakyat menggadai maruah terjebak dengan langkah itu dan langkah ini ketika ia sesungguhnya bercanggah dengan mandat yang diberi rakyat.

Teruk bergelut mencari kerja

Kemudian daripada itu kita pun dipaksa untuk menyaksikan persidangan yang sepatutnya penuh hemah dan mulia bertukar seolah-olah kerumunan sekumpulan haiwan kebuluran tiba-tiba ternampak hidangan di tengah hutan.

Segala yang aneh-aneh kian mandarah daging menjadi resam kebiasaan yang melucukan. Seandainya Shahnon masih hidup, mungkin dia akan memanjangkan karyanya itu dengan satu karya satira yang paling lucu yang penuh dengan aksi-aksi menyakitkan.

Pada 2010, Deddy Mizwar - seorang tokoh terhormat dalam industri filem Indonesia - tampil mengarahkan sebuah filem berjudul Alangkah Lucunya Negeri Ini.

Ia bukanlah filem terbaik yang pernah industri filem Indonesia hasilkan. Akan tetapi dua unsur akliah dan naqliah yang disebut Shahnon tadi, kuat dijadikan subjek dan objek pada teks penceritaan.

Naratif Alangkah Lucunya Negeri Ini bergerak dalam lingkungan kumpulan sosial anak kecil yang tercicir dari sistem persekolahan. Para belia graduan yang teruk bergelut untuk mendapatkan pekerjaan dan kelompok warga emas yang melihat realiti penghidupan hanya dari ruang lingkup fikah disatukan.

Kritikan sosial yang dilakukan dalam filem itu sangat ketara. Ia dapat dinilai dari sudut pandang yang filem berkenaan bangkitkan. Pendedahan peribadi dan komuniti yang hidup dalam masyarakat menuruti sistem-sistem yang diurus oleh benak individu penguasa kepartian sering saja mengucilkan akliah dan naqliah seperti apa yang Shahnon sebutkan.

Hubungan, fungsi dan peranan setiap mereka dilukiskan dengan gaya yang literal. Realiti kepentingan pendidikan dan keberhasilan hidup yang ditonjolkan memberikan ketinggian nilai apabila filem ini mengangkat tema patriotisme bukan melalui kaedah kebiasaan.

Patriotisme dalam Alangkah Lucunya Negeri Ini tidak membicarakan mana-mana sosok. Ia tidak mengangkat tokoh tertentu untuk dimuliakan seperti yang sering filem-filem dari negara kita tonjolkan. 

Akan tetapi Alangkah Lucunya Negeri Ini memaparkan suatu sisi lain yang lebih nakal dan sensual mengenai sistem, institusi, politik dan masa depan.

Ia filem yang menarik kerana unsur akliah dan naqliah berhasil diwacanakan sehingga pada hujungnya membuat kita berfikir.

Berbeza di alam nyata, media sosial

Alangkah Lucunya Negeri Ini mengajar orang ramai bahawa apa jua yang kerajaan dan pembangkang gaduhkan di parlimen - termasuk untuk mempertahan atau menukar speaker dewan - rakyat dan negara tetap hidup susah dan bergelut dengan kesempitan dan kemiskinan.

Di lobi Dewan Rakyat tempoh hari, timbalan yang dipertuanya ada bertanyakan sesuatu kepada wartawan: “Dalam tempoh selepas apabila usul speaker dikosongkan, siapa jadi interim speaker?”

Soalannya itu memang tiada wartawan yang tahu menjawabkan.

“Dalam tempoh pukul 1 sampai 2.30 saya interim. Itu satu sejarah," kata Mohd Rashid Hasnon yang mengambil kesempatan turut sama berucap dalam sidang media pemasyhuran Azhar Harun dan Azalina Othman sebagai speaker dan timbalan speaker yang baru di Dewan Rakyat.

Demikianlah setiap kali melihat sejarah yang negara ini pahatkan. Ada negarawan yang menghabiskan umur tuanya menahan serangan dan persendaan di dewan. 

Ada juga tokoh yang diam hampir-hampir membatu dalam sidang tetapi apabila jauh dari pandangan orang ramai, dia menjadi badut terhebat di media sosial.

Sementara itu ada juga segelintir ahli parlimen yang konsisten memanfaatkan masanya sebagai wakil rakyat untuk menghina warna kulit, umur, bangsa dan gender sesama ahli dewan yang kononnya mereka muliakan.

Tidak ada kebijaksanaan atau ketinggian akal budi yang dapat kita saksikan. Segalanya adalah tentang kebusukan dan kekotoran najis politik kepartian yang mencemarkan akliah dan menjahanamkan naqliah.

Sehinggalah pada suatu saat segala ketulan-ketulan najis yang busuk dan membusukkan itu kita terima sebagai wangi bunga-bungaan. Tanpa akliah dan naqliah yang mereka zahirkan di dalam dewan, segala hal kesempitan dan kesusahan rakyat buat mereka hanyalah suatu komedi yang melucukan.


HARIS HAUZAH ialah penulis yang bekerja sebagai rakyat biasa sepenuh masa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.