Skip to main
Logo Malaysiakini

Rosma mengaku pernah pengsan kerana diet hentam keromo

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penyanyi Akademi Fantasia (AF) 1 Rosma mengakui pernah mengamalkan diet keterlaluan hingga mengakibatannya jatuh pengsan.

Katanya, disebabkan bimbang berat badan naik mendadak, dia tidak kisah kaedah ilmu diet yang diamalkan hingga akhirnya memakan diri sendiri.

“Saya tak ada ilmu diet, tapi jenis hentam keromo. Asal dapat turunkan berat badan. Konsep berlagak pandai walhal tak tahu apa apa.

“Natijahnya pernah sekali saya cemas ekoran jatuh pengsan gara gara diet tak betul hingga dimasukkan ke sebuah hospital,” katanya.

Rosmah berkata, ketika itu, dirinya menjadi tumpuan segelintir wira papan kekunci yang memperlekehkan bentuk badannya (body shaming) serta melemparkan berbakul-bakul cacian.

“Dek fizikal badan saya tembam pun jadi modal kecaman. Ada saja yang tak kena di mata yang membenci. Pernah ketika terbabit promosi sebuah laman sembang pun, ‘kaw kaw’ fizikal diri saya diperkotak-katik.

“Ada komen cakap usia muda tapi badan macam tahap makcik makcik yang ada ramai anak. Gelaran bulat dan debab pun ada dikenakan untuk saya.

“Malah jauh lebih teruk, mempersoalkan saya bercinta dengan Khai (sebelum menjadi suami). Siap cakap badan gemuk, ada hati nak bercinta dengan Khai yang digilai ramai ketika itu. Pendek kata saya ini tak layak berdampingan dengannya,” katanya.

Bagi penyanyi gilapan pertandingan realiti AF1 itu, tiada pilihan selain untuk menjadi kebal.

Pemilik nama penuh, Rosmayati Sidik itu bangkit mengusahakan perniagaan produk pelangsing bersama suaminya, Khai. Perniagaan berkenaan ditubuhkan sejak 2014.

“Saya juga manusia biasa yang berperasaan. Sesekali menangis dan memendam rasa kerana dikecam dek fizikal diri.

“Dalam hati pernah terlintas, macam besar sangat ke badan ini? Buruk sangat ke diri saya.

“Tapi kata-kata menjatuhkan itulah yang membakar semangat diri. Rosma yang dulu, bukan yang sekarang.

“Sekalipun rezeki saya tidak lagi sepenuhnya dengan menyanyi tetapi sebaliknya berniaga, saya bangga usaha kecil itu membuahkan hasil besar yang boleh dibanggakan,” katanya.