Skip to main
Logo Malaysiakini

'Perbaharui Festival Filem Malaysia dulu sebelum dianjur di luar negara'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sebelum Festival Filem Malaysia (FFM) dianjurkan di luar negara, pembaharuan perlulah dibuat ke atas acara itu terlebih dahulu yang sebelum ini dilihat kurang berkesan, kata Presiden Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia Dr Mahadi J Murat.

Mahadi yang juga pengarah filem berkata, langkah produktif untuk menjadikan FFM sedia ada sebagai produk bernilai yang membawa impak tinggi hendaklah dilaksanakan.

“Penganjuran FFM pada masa lalu tidak berjaya menyumbang dan merangsang pertumbuhan, serta apresiasi terhadap filem keluaran tempatan dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Menurut pengarah filem Roda-Roda itu, FFM antara lain dilihat gagal melestarikan karyawan dan seniman tempatan yang diangkatnya, untuk memainkan peranan yang lebih luas.

“Kebanyakan mereka yang dinobatkan sebagai karyawan dan seniman terbaik oleh FFM tidak mendapat tempat dan ruang untuk meneruskan peranan mereka malah kebanyakan daripada golongan itu terus terpinggir dan dilupakan,” katanya.

Mahadi mengulas cadangan Ahli lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang baru dilantik, R Denes Kumar agar FFM diperluaskan ke India sebagai inisiatif untuk memupuk bakat filem tempatan dan mencetuskan inspirasi kepada pemain industri untuk meluaskan pengetahuan dalam penghasilan filem.

Pelakon dan penerbit berusia 38 tahun itu berkata, penggiat industri boleh mendapat lebih banyak inspirasi dengan meneroka pasaran luar negara.

Denes yang mengetuai jawatankuasa Pasaran Kandungan dan Pasaran Benua India di bawah Finas, berkata ada rancangan untuk meningkatkan sumbangan pendapatan filem tempatan India yang pecah panggung kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Mengulas lanjut, Mahadi berkata dia menyokong idea yang disuarakan Denes bagaimanapun merasakan bukan India sahaja yang boleh dijadikan sasaran FFM.

“Saya menyokong idea menganjurkan FFM di luar negara seperti yang disuarakan oleh R Denes Kumar baru-baru ini.

“Namun, Finas juga boleh bekerjasama dengan kedutaan, pejabat perwakilan pelancongan Malaysia, dan lain-lain entiti serta agensi yang sesuai untuk menjayakan program di tempat dan negara-negara strategik (yang lain).

“Barangkali inilah sebahagian daripada 'Langkah Oscar' yang diimpikan dan dicanangkan Finas sebelum ini,” katanya.