Pak Nil 'tolak tepi Emporio Armani' untuk PPE demi keselamatan
Enggan berkompromi dengan risiko kesihatan, ditambah pula kebimbangan disuarakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Aznil Nawawi mengubah rancangan dari memakai baju berjenama ke ‘berselubung’ sewaktu muncul dalam sebuah program televisyen.
Kata pengacara yang lebih mesra disapa Pak Nil itu, inisiatif berkenaan diambil selepas Muhyiddin sendiri menjelaskan mengenai sikap sesetengah orang yang mula tidak mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang Covid-19.
“Mulanya #paknil ada pelan untuk pakai baju Emporio Armani untuk Muzik-Muzik malam ni.
“Tapi selepas pengumuman perdana menteri pasal kelonggaran kita menjaga SOP sewaktu kita masih dalam perintah kawalan pergerakan (PKP), Pak Nil tukar dan pakai peralatan pelindungan diri (PPE) ke set dan buat penggambaran #ApoPaknil.
“Terima kasih penerbit yang izinkan Pak Nil buat demikian,” katanya di Instagram.
Mengiringi kenyataan itu, Aznil, 57, memuat naik imej dia memakai baju seperti PPE ketika membuat persembahan secara langsung pada malam semalam.
Aznil juga mengambil kesempatan itu untuk mengedarkan pelitup separuh muka dan alat pelindung muka untuk kru produksi berkenaan.
Tolong berjaga-jaga
Semalam, Muhyiddin melahirkan kebimbangan terhadap kewujudan 13 kluster baru Covid-19 sepanjang tempoh PKP Pemulihan baru-baru ini.
Katanya, jumlah itu termasuk kluster restoran di Brickfields, Kuala Lumpur; kluster Stutong di Sarawak dan kluster berpunca daripada mereka yang pulang dari luar negara.
Muhyiddin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak lalai kerana ancaman Covid-19 belum berakhir.
Katanya, beliau percaya jika rakyat memainkan peranan masing-masing, PKP Pemulihan dapat dilalui dengan jaya.
Sementara itu, pelakon antarabangsa kelahiran Malaysia, Michelle Yeoh, pula dilihat tidak menggunakan pelitup separuh muka sebaliknya pelindung muka sewaktu menaiki penerbangan dari Paris ke Sydney baru-baru ini.
Pelakon Tomorrow Never Dies itu turut menyuarakan kebimbangannya melalui Instagram: “Kembali bekerja. Bimbang.”
Yeoh juga memuat naik beberapa imej menunjukkan dia memakai alat pelindung muka, pelitup separuh muka dan topi ketika berada di lapangan terbang.
Aktres berkenaan kemudian merayu agar orang ramia menjaga keselamatan diri masing-masing.
“Pakai pelitup muka. Tolong berjaga-jaga,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai