Skip to main
Logo Malaysiakini

Kim: Payah masalah bipolar 'bakal presiden AS' ini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Selebriti Kim Kardashian mendedahkan sukar menangani masalah bipolar suaminya, penyanyi rap Kanye West.

Kata Kim melalui Instagram Stories berkata, West yang seorang yang rumit selain sukar untuk difahami.

“Seperti mana yang ramai tahu, Kanye mempunyai masalah bipolar.

“Sesiapa yang mengidap penyakit ini atau kenal orang yang mereka sayang mempunyai masalah ini tahu bagaimana amat sukar dan menyakitkan hati untuk difahami ramai.

“Saya tak pernah bercakap secara terbuka mengenai hal ini, tapi ia sudah menjejaskan kami di rumah kerana saya adalah pelindung kepada anak-anak dan hak Kanye untuk privasi.

“Namun, hari ini saya rasa patut beri komen ekoran stigma dan tanggapan salah berhubung kesihatan mental,” katanya.

Kim, 39, turut menyifatkan West seorang yang bijak tetapi rumit, selain memberitahu perjuangan terpaksa ditempuhi penyanyi itu termasuk kehilangan ibunya, Donda pada 2007.

“Saya faham bagaimana Kanye boleh menjadi subjek kritikan kerana dia seorang figura umum dan tindak-tanduknya seringkali mencetuskan perbalahan dan emosi.

“Dia bijak tapi rumit kerana dirinya tertekan sebagai artis dan lelaki kulit hitam selain mengalami kehilangan ibu yang menyakitkan serta terpaksa berdepan masalah bipolarnya.

“Mereka yang rapat dengan Kanye faham jiwanya dan memahami kata-katanya kadan-kala tidak selari dengan niatnya,” katanya.

Kenyataan itu keluar tiga hari selepas West mengadakan perhimpunan politik pertama bagi kempen presiden di Utara Charleston, Carolina Selatan, ketika dia secara emosional berbicara tentang kepercayaannya, mendiang ibunya dan keluarganya.

Untuk rekod, West pernah mengumumkan dia bakal bertanding untuk jawatan presiden AS November ini.

West sebelum ini amat terbuka apabila berbicara mengenai masalah kesihatan mentalnya.

Tahun lalu, West yang juga penulis lagu, penerbit dan komposer itu pernah mendedahkan pada pengacara terkenal David Letterman bahawa dia didiagnos mengidap bipolar.

Dia juga mengaku sering tidak mengambil ubat untuk keadaannya itu. Kim juga membayangkan dia tidak berdaya membantu suaminya itu untuk mendapatkan pertolongan tanpa bersetuju untuk mencarinya sendiri.

"Mereka yang memahami penyakit mental atau bahkan tingkah laku kompulsif tahu bahawa keluarganya tidak berdaya untuk membantu, kecuali individu berkenaan di bawah umur.

“Orang yang tak menyedari atau jauh dari pengalaman begini boleh bersikap menghakimi dan tak faham bahawa pesakit tersebut perlu terlibat dalam proses untuk mendapatkan bantuan walau bagaimana sukar sekalipun untuk keluarga dan rakan-rakan mereka berusaha untuk membantu,” katanya.

Terdahulu, West menulis beberapa siri ciapan - yang kemudian dipadam di media sosialnya - menunjukkan bahawa dia sudah mempertimbangkan untuk menceraikan Kim.

Bagaimanapun, Kim tidak mengulas lanjut kenyataan dibuat suaminya itu.

“Kita sebagai masyarakat berbicara bagaimana untuk mengasihani mereka yang terbabit masalah mental secara keseluruhan, namun kita juga perlu berbuat demikian kepada individu yang mengidapnya dari masa ke semasa apabila mereka memerlukannya

“Saya mohon agar media dan orang ramai memberi ruang agar kami dapat mengatasi masalah ini,” katanya.