Skip to main
Logo Malaysiakini

Neelofa kecewa Hans Isaac tak sempat selesaikan misi di Finas

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Neelofa menyatakan rasa kecewanya melihat jawatan pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bertukar ketika penyandang sebelumnya dilihat sedang menyusun langkah dengan betul bersama sasaran tertentu.

Kata pengacara dan pelakon terkenal itu, rancangan sedang dirangka Hans Isaac sebelum ini diyakini berpotensi membangunkan industri seni tempatan.

“Saya sebagai seorang kawan kepada pengerusi Finas lepas, tahu sasaran serta perkara yang ingin mereka jayakan.

“Namun, apabila mereka tak dapat menyempurnakan misi tersebut, saya berasa sangat kecewa.

“Saya percaya rancangan ingin dilaksanakan itu mampu membawa kebaikan bukan saja kepada golongan artis malahan pekerja di belakang tadbir serta secara keseluruhan dunia seni tanah air,” katanya.

Pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor itu ditemui pada majlis penyerahan cek sumbangan sempena Ibadah Qurban Kasih Neelofa oleh syarikat RichWorks International Sdn Bhd (RichWorks) di Shah Alam hari ini.

Ibadah Qurban Kasih Neelofa melalui Pertubuhan Kasih Neelofa menerima sumbangan 151 ekor lembu bernilai RM795,750 daripada RickWorks. Kerjasama itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan lembu korban sebanyak 191 ekor bakal diagihkan kepada golongan yang memerlukan di seluruh negara.

Hans dilantik menjadi pengerusi Finas oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Pakatan Harapan (PH), Gobind Singh Deo untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 8 April tahun lalu.

Bagaimanapun, pelakon dan penerbit itu memegang jawatan berkenaan selama 13 bulan sebelum tempatnya digantikan dengan bekas pemimpin cabang PKR, Zakaria Abdul Hamid.

Zakaria dilantik sebagai pengerusi Finas oleh menteri yang baru, Saifuddin Abdullah, berkuat kuasa 23 Mei lalu

Neelofa, 31, secara tidak langsung turut menyatakan harapannya sekiranya jawatan berkenaan masih disandang oleh individu sama.

“Kalaulah orang sama masih buat kerja tu, mungkin banyak faedah dan manfaat boleh dikecapi bersama,” katanya.

Pun begitu, pelakon Suri Hati Mr Pilot itu sentiasa positif malah menyatakan harapannya untuk melihat dunia hiburan tempatan dikendalikan pihak yang boleh menyokong penggiat industri.

“Saya harap orang baru dalam lembaga ada inisiatif bersama untuk beri kebaikan kepada industri seni Malaysia,” katanya.