Skip to main
Logo Malaysiakini

Wanna Ali tetap perjuangkan hak walau suaranya kecil

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

“Merugikan, macam mana industri nak maju?” demikian kata pelakon Wanna Ali yang kecewa apabila filem pertama lakonannya Ada Apa Dengan Dosa (AADD) dicetak rompak dan dijual secara terbuka melalui Shopee.

Anak kepada penerbit AADD, Ayu Puteh itu berkata, sikap tidak bertanggungjawab tersebut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penggiat seni sepertinya yang sudah berhempas-pulas menjayakan sesebuah karya.

“Amat kecewa sebab Ada Apa Dengan Dosa adalah filem pertama yang saya lakonkan.

“Kami dan kru produksi lain turut bekerja-keras sampai sanggup menjalani penggambaran hingga ke luar negara semata-mata untuk menampilkan karya berkualiti, sesuai untuk diketengahkan pada peringkat antarabangsa.

“Macam mana kami nak jana pendapatan jika ada pihak berterusan ambil kesempatan begini,” katanya.

Wanna atau atau nama sebenarnya Nor Syazwana Mohd Ali ditemui pada sesi diskusi 'Akta Finas 1981 Relevan Yang Terbatal?' anjuran Gabung Anak Seni di Petaling Jaya semalam.

Terdahulu, Ayu Puteh atau nama penuhnya Normashayu Puteh, 43, mengancam untuk menyaman laman e-dagang terbabit sebanyak RM50 juta selepas mendapati filem terbitannya itu dijual pada harga serendah RM1. 

Kejadian terbabit berlaku selepas 10 hari filem berkenaan ditayangkan melalui saluran berbayar, Astro First.

Karya bergenre drama Islamik terbitan produksi Pencil Pictures & Records Sdn Bhd itu diarahkan Rahila Ali dan sepatutnya ditayangkan di pawagam pada 24 September ini namun terdapat perubahan gara-gara Covid-19.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pula memberitahu pihaknya sedang memburu dalang di sebalik cetak rompak filem tempatan berkenaan.

Filem AADD menjalani penggambaran di beberapa lokasi menarik di tanah air dan Scotland pada 2018. Selain Wanna, ia turut dijayakan pelakon seperti Ashraf Muslim, Fasha Sandha, Wanna Ali, Haris Ismail, Fauziah Nawi dan Adam Corrie.

Melalui maklum balas diterima Malaysiakini, Shopee menyatakan pihaknya mengambil langkah tegas bagi menyelesaikan isu penjualan filem cetak rompak di platform berkenaan.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho, berkata penjual yang melanggar undang-undang dan peraturan tempatan atau dasar penyenaraian mereka yang ketat turut akan disingkirkan dari platform terbabit. 

Meskipun menyedari suaranya dianggap kerdil, Wanna tetap memasang harapan agar pihak berkuasa berjaya membanteras isu cetak rompak yang bukan lagi dianggap suatu perkara baru dalam negara.

“Isu ni sudah lama berleluasa di Malaysia. Justeru, saya harap masalah ni dapat ditangani dengan kadar segera.

“Mungkin pendapat atau suara saya kecil, tapi saya yakin pelakon lain juga akan menyokong apa diperkatakan sekiranya isu sama terjadi kepada karya lakonan mereka,” katanya.