Azlan nafi promosi LGBT dengan Kelabu
Penyanyi Azlan Typewriter menepis dakwaan lagu Kelabu yang dinyanyikan secara duet bersama YonnyBoii mempunyai agenda untuk mempromosikan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LBGT).
Kata Azlan, sekiranya netizen masih berpendapat sedemikian, hal itu tidak lain dan tidak bukan cuma menjurus kepada permainan persepsi semata-mata.
“Kalau ada yang menganggap adegan yang terkandung dalam video muzik Kelabu berkaitan dengan LGBT atau apa sekali pun, itu hanyalah persepsi mereka semata-mata.
“Kelabu dihasilkan bukan bertujuan untuk mempromosi ideologi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, melalui laman YouTube muzik video rasmi Kelabu, segelintir warga maya beranggapan lagu yang mendapat sentuhan Azlan dan YonnyBoii itu mempromosikan gaya hidup songsang LGBT.
Menguatkan lagi dakwaan itu apabila kandungan muzik video berkenaan menunjukkan Azlan atau nama penuhnya Nor Azlan Rosle dan YonnyBoii memegang payung berwarna-warni atau pelangi yang disifatkan sinonim dengan simbol LGBT.
Bagaimanapun, Azlan, 38, menjelaskan, payung berwarna-warni itu sebenarnya mempunyai maksud tersendiri, sesuai dengan mesej cuba diketengahkan pada lirik “kusediakan payung untuk engkau berteduh.”
“Payung digunakan berwarna-warni tu melambangkan kehidupan ini yang dilatari pelbagai warna.
“Jika ada pelangi muncul selepas hujan, ia pasti dapat menggembirakan sesiapa saja yang melihatnya,” katanya.
Sementara itu, YonnyBoii atau nama sebenarnya Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin turut mengulas maksud sebenar di sebalik lirik Kelabu.
Menurut YonnyBoii, 22, Kelabu cuba mengajak sesiapa yang dirundung masalah agar tidak sesekali berputus asa kerana dia percaya pasti ada hikmah dalam setiap kejadian yang menimpa seseorang.
“Meskipun hidup diselubungi pelbagai masalah, percayalah masih ada kegembiraan dan kebahagiaan yang akan dinikmati di kemudian hari. Apa yang penting jangan putus harapan,” katanya.
Sebelum ini, Malaysiakini menyiarkan laporan, YonnyBoii mendedahkan bahawa dia mengidap penyakit Attention Deficit Hyperactive Disorder (ADHD) atau Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif.
Katanya, penyakit tersebut dihidapi sejak kecil hingga menyebabkan dia pada kebanyakan masa disifatkan rakan-rakan sebagai seorang yang sering berkelakuan pelik selain bersikap hiperaktif serta dipulaukan.
“Saya sedar memang kelakuan sedikit berbeza daripada daripada rakan-rakan sebaya tapi tak sangka pula tingkah laku saya mempunyai kaitan dengan ADHD,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai