Skip to main
Logo Malaysiakini

Menikmati filem di panggung terbuka berlatar belakang KLCC

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Baru-baru ini sebuah pawagam berkonsepkan pandu masuk dilancarkan di ibu kota dengan menawarkan pengalaman sinematik baru kepada penggemar wayang ketika negara masih terikat dengan syarat-syarat perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Beroperasi di lokasi strategik iaitu di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, Nescafe M-Junction KL Drive In Cinema mempunyai keunikan tersendiri.

Ia juga menjanjikan pelanggannya suatu rasa teruja menonton filem di tempat terbuka menghadap skrin gergasi dari kereta masing-masing.

Namun, ada segelintir pihak berpendapat, pengendali perkhidmatan itu, TwoSpicy Entertainment Live dan MD Events Asia mengenakan bayaran agak tinggi berbanding menonton di lokasi-lokasi seperti kompleks beli-belah.

Menjawab pertanyaan Malaysiakini, Pengarah MD Events Asia, Jack Gill, berkata sebagai operator yang baru berkecimpung dalam bidang tersebut, pasti ada cabaran utama perlu diatasi terutama dari sudut mendapatkan lesen untuk tayangan pawagam tunggal.

“Kami hanya mempunyai satu pawagam jika nak dibandingkan dengan pemilik pawagam lain yang sudah mempunyai puluhan atau ratusan lokasi, justeru harga lesen untuk sesebuah naskhah menjadi tinggi,” katanya.

Menurut Gill, susulan itu, pihaknya berpendapat, lebih mudah untuk menempatkan bukan saja filem baru tetapi naskhah lama di Nescafe Drive M-Junction Drive In Cinema sebagai pilihan buat pengunjung.

Katanya, hal itu kerana karya-karya baru terbukti lebih besar kosnya.

“Sudah tentu kami ingin menawarkan sebanyak mungkin filem terbitan terbaru sekiranya boleh mendapatkan segala-galanya dengan harga kos yang munasabah daripada syarikat pengedar filem.

“Contohnya, kami antara pawagam pandu masuk terawal menayangkan filem Hollywood, Legacy of Lies, yang menampilkan lakonan aktor Scott Adkins.

“Justeru, Nescafe Drive M-Junction Drive In Cinema berharap dapat sokongan ramai agar kami mampu teruskan usaha ini selain melihat pawagam pandu masuk menjadi suatu aliran popular untuk penggemar filem,” katanya.

Tonton filem, saksi pemandangan 

Harga untuk menikmati pengalaman tersebut bermula dari RM99 manakala kategori VIP pula ialah RM159 untuk setiap kereta yang hanya boleh memuatkan dua orang saja berdasarkan prosedur operasi standard mengekang Covid-19.

Operasi ditayangkan untuk waktu terhad iaitu selama tiga bulan bermula 30 Julai lalu dengan pilihan filem antaranya dari aksi, seram, romantik dan komedi.

Pemeriksaan suhu badan juga tetap dijalankan sebelum penonton dibenarkan masuk.

Sementara itu, Pengarah TwoSpicy Entertainment Live, Arvin Randhawa berkata, harga ditawarkan masih dianggap bersesuaian memandangkan pakej tersebut turut dilengkapi pengalaman menonton wayang yang tidak dapat dimiliki seumpamanya di tempat lain.

“Kami pengendali premis pawagam pandu masuk pertama menawarkan pengunjung pakej menonton wayang sambil menikmati keindahan Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Petronas.

“Ini tak pernah lagi berlaku di Malaysia. Boleh saya katakan, ia cukup walau sekali saja untuk merasai pengalaman di sini kerana pengunjung tetap dapat menikmati sesuatu yang amat berharga terutama buat penggemar swafoto.

“Selain itu, harga tiket termasuk juadah makanan untuk dua orang yang boleh dipesan menggunakan pembayaran sistem tanpa tunai,” katanya.