Skip to main
Logo Malaysiakini

Noki hilang sabar lihat ibu bapa kena maki

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Meskipun mengaku dirinya seorang yang panas baran, Noki dari kumpulan rap popular K-Clique memohon agar masyarakat tidak terus menjatuhkan hukum atas sesuatu kejadian yang belum terbukti kesahihannya.

Kata Noki, hanya disebabkan berita palsu ditularkan pihak tidak bertanggungjawab, dia dimaki-hamun sejak Jun lalu melalui mesej secara langsung (DM) di akaun Instagramnya.

Menurut pemilik nama sebenar Ahmad Ikhwan itu, semuanya bermula gara-gara muncul sebuah klip video yang disunting memaparkan dia sedang memaki-hamun sewaktu bersiaran di IG Live.

“Perkara tak betul tersebar bila ada pihak sunting dan memuat naik hanya bahagian saya mengeluarkan kata-kata kesat di media sosial.

“Apabila sampai pada pengetahuan netizen yang tak tahu kisah sebenar, mereka terus DM dan memaki hamun saya antaranya dengan berkata: Kau ingat kau gangster ke ba**, si**?” katanya.

Noki ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu berjudul Gila di Kuala Lumpur hari ini.

Gila menyaksikan kolaborasi Noki dengan penyanyi Kaka Azraff dan penyanyi rap Loca B. Lagu tersebut merupakan ciptaan bersama Noki, Loca dan Ezra Kong.

Noki bersama Kaka Azraff (kiri) dan Loca B

Menjelaskan situasi sebenar, Noki berkata, memang dia ada mengeluarkan kata-kata kesat sewaktu bersiaran pada IG Live tersebut, namun ia tidak disengajakan.

Katanya, ia terjadi ekoran dia gagal mengawal perasaan apabila membicarakan mengenai pihak yang sengaja memainkan isu tertentu bertujuan menjatuhkan reputasi ibu dan bapanya.

“Ada akaun palsu tanpa imej profil memaki kedua-dua orang tua saya. Siapa boleh bersabar macam tu?

“Tak semena-mena saya pula terima padah apabila netizen ingat saya mengeluarkan kata-kata kesat di media sosial tanpa sebab,” katanya.

Bagaimanapun, Noki berkata, dia enggan mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang menularkan dan menyunting berita palsu berkenaan.

Menyedari dirinya boleh disalah erti dengan begitu mudah, hal itu membuatkan Noki menyedari, sikap cepat marah sebenarnya tidak membawa apa-apa kebaikan pada diri seseorang.

“Sejak kebelakangan ni, saya berfikir dalam industri tak boleh pamerkan sikap suka memaki-hamun kerana ia akhirnya bawa padah pada diri sendiri.

“Ada segelintir netizen ni, mereka bukan kisah pun perihal sebenar. Justeru, saya berharap dapat belajar untuk mengubah sikap ke arah lebih positif,” katanya.