Skip to main
Logo Malaysiakini

Vivian Ng sebar mesej patriotik, harmoni dengan cap ibu jari

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Enggan melihat keharmonian negara digugat walau dalam apa jua keadaan sekalipun, pelukis Vivian Ng Suet Yuan tampil mengetengahkan mesej itu secara unik.

Dia menghasilkan potret Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra, menggunakan cap ibu jarinya sendiri.

Kata Ng, selain karya itu dihasilkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 pada 31 Ogos ini, karya berjudul Hargai Keharmonian itu juga dicipta untuk memperingati segala usaha Tunku dalam mendapatkan kebebasan daripada penjajah.

"Tujuan saya hasilkan potret Tunku Abdul Rahman menggunakan hanya cap jari sebagai meningkat semangat patriotik dan mengingatkan rakyat agar sentiasa menghargai keharmonian dalam negara serta perjuangan nenek-moyang kita untuk mencapai kemerdekaan.

"Ia juga merujuk kepada pengisytiharan kemerdekaan negara oleh Tunku pada 31 Ogos 1957," katanya kepada Malaysiakini.

Karya itu dihasikan di atas sembilan kanvas bersaiz 126sm x 180sm menggunakan bahan akrilik. Ia dijual pada nilai RM8,888.

Keunikan potret itu terserlah apabila ia menggunakan ribuan cap jari Ng yang berwarna kuning, hitam dan merah melambangkan tiga identiti budaya terbesar yang terdapat di Malaysia.

Ada mandat daripada rakyat

"Ia menandakan bangsa Melayu, Cina dan India yang mempunyai keunikan tersendiri apabila boleh hidup di tempat sama.

"Cap jari pula penting dalam menentukan identiti seseorang, justeru ia memberi gambaran jelas mengenai siapa diri kita, tak ada orang mempunyai cap jari sama," katanya.

Keharmonian diungkapkan Ng termasuklah keamanan dari sudut situasi politik di Malaysia.

Meskipun tidak cenderung berpolitik, anak kelahiran Bentong, Pahang yang juga seorang pensyarah itu berharap keamanan di negara ini sentiasa dipelihara.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata pada masa sama pemimpin pula sepatutnya tidak melompat parti sesuka hati kerana mereka berada di kedudukan begitu selepas mendapat mandat rakyat.

"Memang negara aman tiada peperangan, tapi akan lebih elok jika tiada ahli politik mudah menukar haluan begitu saja kerana kami yang undi pun naik pening," katanya yang tidak merajuk kepada mana-mana pihak secara khusus.

Untuk rekod, Ng turut menghasilkan dua lagi potret pemimpin era kemerdekaan, iaitu Tan Cheng Lock dan VT Sambanthan yang menemani Tunku ke England untuk merundingkan kemerdekaan negara.

Selain itu, Ng juga pernah menghasilkan potret seorang lagi tokoh terkenal negara ini, iaitu Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah bulan lalu.

Potret-potrer yang dihasilkan Ng boleh disaksikan di Galeri Niuniu yang terletak di Sungai Chua, Kajang, Selangor.