Skip to main
Logo Malaysiakini

Kaka Azraff: Suami 'bebas' isu bipolar, OCD kerana urus anak

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penyanyi Kaka Azraff mendedahkan penyakit bipolar dan gangguan obsesif kompulsif (OCD) dihidapi suaminya, Adam Azriff, menunjukkan perubahan positif terutama selepas kehadiran cahaya mata mereka.

Kata Kaka, mungkin rutin harian mereka berkongsi tugas menjaga anak mereka - Aslan, 10 bulan - membantu Adam secara tidak langsung untuk mengatasi kedua-dua penyakit berkenaan.

“Adam seolah-olah tidak lagi bergejala, kelihatan seperti penyakit tu tiba-tiba hilang selepas kelahiran Aslan.

“Saya anggap mungkin mindanya lebih fokus kepada cara untuk menguruskan anak kami saja, justeru, tiada tekanan berlebihan,” katanya.

Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff ditemui pada majlis pelancaran single terbaru berjudul Gila di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Gila menyaksikan kolaborasi Kaka, 31, dengan penyanyi rap Loca B dan Noki K-Clique. Lagu tersebut merupakan ciptaan bersama Noki, Loca dan Ezra Kong.

Media sebelum ini melaporkan, penyanyi lagu Infiniti Cinta itu sedia maklum Adam, 26, menderita penyakit berkenaan sejak kecil.

Laporan turut menyebut, bipolar atau penyakit gangguan emosi itu menyebabkan Adam boleh tiba-tiba menangis, berasa sedih dan celaru terhadap sesuatu perkara baru berlaku.

Dapat atasi perasaan

Selain itu, OCD pula menyebabkan Adam berkehendakkan setiap benda sentiasa dalam keadaan tersusun dan teratur.

Bagaimanapun, Kaka juga tidak menolak kemungkinan perkahwinan yang dibina mereka sejak 14 Dis 2018 turut membantu membawa perubahan besar pada diri Adam seperti sekarang.

“Dulu sebelum berkahwin, tak ada orang betul-betul jaga makan, minum dan pakaian dia, sekarang saya yang setia menemani di sisi,” katanya.

Sementara itu, mengulas kolaborasinya dalam Gila, Kaka berkata, dia sudah tidak kisah jika pembabitannya dengan mana-mana penyanyi lain akan dipertikaikan.

Menurut Kaka, jika dulu timbul perasaan kurang yakin apabila dirinya sering dilabel sebagai artis kolaborasi, kini dia beranggapan cakap-cakap belakang seperti itu tidak lagi memberikan implikasi negatif.

Baginya, wujud rasional di sebalik setiap yang berlaku terutama apabila ia membabitkan prestasi kerja dan kelangsungannya dalam arena seni tempatan.

“Apa salahnya jika dapat bekerjasama dengan dua artis yang muzik mereka membawa nafas segar dalam industri seperti Loca dan Noki, melalui kolaborasi sebegini, saya dapat belajar sesuatu yang baru daripada mereka.

“Perasaan kurang yakin banyak timbul waktu setahun dua dalam industri dulu apabila takut sendiri adakah peminat boleh menerima lagu kolaborasi dibawakan.

“Alhamdulillah, saya dapat atasi perasaan tu apabila tanamkan sifat percaya diri sendiri hingga sekarang lebih-lebih lagi apabila tahu peminat dapat menerima muzik yang disampaikan,” katanya.