Skip to main
Logo Malaysiakini

Kanye West dikecam kerana pilih nama malaikat untuk kasut

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Rapper dan pereka fesyen terkenal AS, Kanye West mengundang kemarahan pengguna Muslim di media sosial selepas menamakan dua kasut sukan keluarannya dengan nama malaikat.

Bintang Flashing Lights itu yang menubuhkan jenama kasutnya pada 2009 mengumumkan rekaan terbaru hasil jalinan kolaborasinya dengan sebuah jenama terkenal pada minggu lalu.

Kasut sukan itu diberi nama Yeezy Boost 350 V2 Israfil dan Yeezy Boost 350 V2 Asriel.

Israfil adalah malaikat yang akan meniup sangkakala pada Hari Kiamat manakala Asriel (Izrail) adalah malaikat maut.

“@kanyewest menamakan kasutnya dengan Israfil dan Azreal seperti nama malaikat, ini dianggap menghina dan jahil.

“Dia dengan jelas cuba memanfaatkan pengguna Muslim tapi gagal berbuat demikian kerana tidak melakukan penyelidikan terlebih dahulu.

“Ada perkara yang melampaui batas dan ini salah satu daripadanya,” ciap @sofia__haq di Twitter.

Sementara itu, sebuah petisyen dalam talian dilancarkan bagi mendesak syarikat pengeluar menukar nama kasut itu.

Model Israfil sudah habis dijual dalam talian manakala kasut Asriel dijangka dilancarkan bulan depan.

West dan syarikat itu belum memberikan sebarang reaksi terhadap kontroversi yang tercetus.

Malaysiakini juga sedang cuba mendapatkan reaksi syarikat itu.