Skip to main
Logo Malaysiakini

Ara Johari: Saya bersumpah tak pernah minum arak

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penyanyi Ara Johari bersumpah dirinya bukan kaki minum minuman keras hingga menjadi punca dia terpaksa menarik diri bagi menjayakan sebuah program dan menyusahkan produksi baru-baru ini.

Ara mendakwa, dia sememangnya tidak pernah menyentuh minuman haram tersebut selain bebas berada di bawah pengaruh dadah sewaktu kejadian berlaku.

Justeru, kata pemilik nama sebenar Nurfarrah Izzatie Johari itu, dia mengaku amat kecewa dengan segala dakwaan tidak benar yang dilemparkan terhadapnya.

“Saya berani bersumpah yang saya tidak pernah sentuh minuman berasaskan alkohol atau dadah.

“Saya kecewa dengan dakwaan tak berasas seperti ini, tapi mulut orang saya tak boleh nak tutup terutama apabila ada juga mengaitkan faktor fizikal terlalu kurus sebagai bukti saya membabitkan diri dengan perkara negatif,” katanya.

Ara ditemui pada sidang media kempen Malaysiaku, Kita Selamat Bersama bersempena bulan kemerdekaan di bawah kendalian Astro di Bukit Kiara, Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Ara, 23, menjelaskan, masalah kesihatan yang teruk menjadi sebab utama dia terpaksa menarik diri pada saat akhir.

Kata penyanyi Racun Hati itu, dia mengalami semput hingga sukar bernafas dan perlu mendapatkan rawatan menggunakan alat perubatan nebulizer.

Bagaimanapun, dalam situasi Covid-19 masih belum reda, doktor tidak mengalakkan dia menggunakan kaedah itu yang dibimbangi boleh mengakibatkan kesihatannya semakin merudum.

Pada masa sama, Ara berkata, keluarganya terus memberikan kepercayaan selain memahami situasi kesihatan yang dialami.

“Janji diri sendiri dan keluarga tahu apa yang terjadi, mereka juga percaya saya tak pernah sentuh benda-benda seperti itu,” katanya.

Ditanya sama ada pergaulan sosial dengan rakan-rakan sebaya mengundang kecaman ke arah itu, Ara tidak menafikan perkara tersebut.

“Jika boleh, saya mahu berkawan dengan semua orang, mereka termasuklah yang gemar bersosial.

“Tapi apa pun, segala-galanya terpulang pada diri sendiri sebab kita yang tentukan sama ada ingin menjurus ke arah kebaikan atau sebaliknya,” katanya.