Skip to main
Logo Malaysiakini

Sufi harap reda Covid-19 bawa hikmah jernihkan hubungan ibu, isteri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mengharapkan situasi Covid-19 segera reda, tidak banyak yang diminta penyanyi kelahiran Singapura, Sufi Rashid, kecuali untuk membawa isterinya, Nurulain Md Yusof, bertemu ibu dan sanak-saudara di republik berkenaan.

Tanpa menjelaskannya dengan terperinci, Sufi - kini menetap di Kuala Lumpur - memberitahu, harapannya hanya satu iaitu untuk merapatkan silaturrahim sesama keluarga yang 'terpisah' akibat wabak berkenaan.

“Antara kesempatan yang diinginkan apabila Covid-19 pulih betul-betul nanti adalah untuk bawa isteri ke Singapura bertemu keluarga di sana.

“Sejak Covid-19 menular, kami tak pulang-pulang ke Singapura terutama apabila banyak majlis dibatalkan dan acara pula lebih mudah dilakukan secara maya saja,” katanya.

Sufi ditemui pada sidang media kempen Malaysiaku, Kita Selamat Bersama sempena bulan kemerdekaan bawah kendalian Astro di Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Sebelum ini, hal keluarga berkenaan mengundang perhatian umum selepas tular video klip memaparkan Nurulain bertindak meninggalkan pelamin sewaktu ibu mentuanya, Irma Suriana Mahamud, datang bersalaman dan memeluk Sufi.

Keretakan hubungan Irma dan Nurulain dikatakan bermula ekoran pernikahan berkenaan tidak direstui.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila Irma memuat naik kenyataan di laman sosialnya dengan mendakwa dia dan rombongannya dilayan seperti penjenayah sewaktu hadir ke majlis resepsi.

Dah tak macam dulu

Selain itu, beberapa imej Irma dan menantunya bermasam muka pada majlis resepsi berkenaan turut tersebar di media sosial menyebabkan sebahagian warganet menyifatkan Nurulain biadab kepada ibu mentuanya.

Bagaimanapun, Sufi menegaskan isterinya bukan biadab tetapi mempunyai alasan tersendiri apabila berbuat demikian.

Sufi, 29, dan Nurulain selamat diijabkabulkan lafaz pada 21 Sept tahun lalu.

Mengulas lanjut, Juara Akademi Fantasia 2015 itu memanjatkan syukur kerana hubungan Nurulain dengan Irma sudah tidak bermasalah seperti dulu lagi.

“Alhamdulillah, tak macam dulu. Sebelum ni jika nak fahamkan sesuatu isu bagi kepada keluarga bukan suatu perkara mudah lebih-lebih dalam industri, apa diluahkan boleh bertukar jadi lain.

“Apabila mereka tak faham, lagi bertambah tertekan, tapi sekarang dah tak ada banyak masalah selepas berkahwin, saya pernah bawa Nurulain berjumpa mak.

“Mereka berdua juga boleh duduk dan berbual bersama,” katanya yang mengharapkan peminat untuk mendoakan yang baik-baik buat mereka.