Skip to main
Logo Malaysiakini

'Sindrom' pandang rendah kemampuan sendiri perlu diketepi - Lisa Surihani

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sikap memandang rendah kemampuan sendiri perlu diatasi rakyat di negara ini terutama apabila pihak berkuasa terbukti berjaya menunjukkan prestasi sangat baik menghadapi Covid-19 dan secara sistematik, kata Lisa Surihani.

Aktres yang mengakui dirinya kagum dengan usaha digembleng kerajaan dan barisan hadapan kesihatan itu berkata, pengiktirafan di peringkat antarabangsa menjadi bukti pencapaian sedemikian tidak hanya boleh berlaku di luar negara.

“Apabila kita diiktiraf antara lima negara terbaik, secara tak langsung saya rasa kagum kerana walaupun dalam berdepan dugaan, negara kita mampu mengekang penularan wabak berkenaan.

“Jangan fikir hanya negara maju saja boleh bertindak cepat dan mempunyai pengurusan krisis yang dikendalikan secara sistematik.

“Mungkin ada antara kita terlalu pandang rendah pada kebolehan negara sendiri, kita tak patut buat begitu sebenarnya,” katanya.

Lisa ditemui pada sidang media kempen Malaysiaku, Kita Selamat Bersama sempena bulan kemerdekaan bawah kendalian Astro di Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pemilik nama penuh Lisa Surihani Mohamed itu sebaliknya berkata, rakyat negara ini wajar berbangga dan mempunyai keyakinan dengan usaha dipraktikkan barisan hadapan kesihatan.

“Apabila bersembang dengan barisan hadapan kesihatan, mereka berkata, semuanya dilakukan dengan teratur bermula dengan kaedah komunikasi.

"Kita patut berbangga mengenai cara mereka menguruskan pandemik tersebut,” katanya.

Pun begitu, Lisa, 34, tetap mengingatkan bahawa perjuangan mengatasi Covid-19 masih belum selesai dengan menyeru rakyat negara ini sentiasa berwaspada.

“Kita perlu bertanggungjawab, mulakan dengan diri sendiri dan keluarga. Sekiranya timbul situasi kurang selamat, kita kena belajar cara untuk mengatasi situasi tersebut,” katanya.

Ibu kepada Yahara Leanne, 4, dan Yusof Leonne, 3, itu juga boleh berbangga kerana walaupun masih kecil, kedua-dua anaknya didapati tidak mempunyai masalah untuk mengadaptasi kehidupan mereka mengikut norma baru.

“Alhamdulillah, seorang pun tak berasa rimas kalau diminta pakai pelitup muka malahan sempat bergurau seolah-olah mereka adalah ninja.

“Jika mereka boleh anggap perkara tu positif dan menghiburkan, kenapa tidak? Anak-anak juga akan minta diberikan cecair pembasmi kuman tanpa disuruh sekiranya tangan mereka terpegang sesuatu yang kotor,” katanya.