Skip to main
Logo Malaysiakini

'Killmonger' luah dedikasi menyentuh hati buat Raja Wakanda

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pelakon Hollywood Michael B Jordan hari ini menulis ‘warkah’ penuh emosi buat pelakon gandingannya dalam Black Panther, Chadwick Boseman, yang meninggal dunia akibat kanser usus pada 28 Ogos lalu.

Di Instagram, Jordan berkongsi catatan mengenai sejauh mana keakraban mereka selama ini dan hantaran berkenaan diiringi beberapa gambar.

Dalam kata-katanya itu, Jordan acap kali meluahkan perkataan "sekiranya kita ada banyak masa."

"Saya cuba cari perkataan sesuai, tapi tiada yang boleh mennggambarkan perasaan saya sepenuhnya," kata Jordan yang membawa watak Erik Killmonger dalam Black Panther.

Kedua-dua dua pelakon itu bergandingan menjayakan filem Marvel yang mengangkat nama Boseman melalui watak King T'Challa dan berseteru pula dengan Kilmonger.

Jordon turut mengenang perbualan terakhir mereka sebelum pelakon terbabit meninggal dunia.

"Kali terakhir kita bercakap, kamu memberitahu yang kita akan dikaitkan selama-lamanya. Kebenaran itu membawa makna lebih besar untuk saya sekarang," katanya.

Bertahun-tahun sebelum kedua-dua rakan itu muncul bersama di layar lebar, Boseman pernah menolak apabila ditawarkan berlakon dalam siri All My Children kerana pandangan stereotaip pada watak tersebut.

Watak itu kemudian diberikan pada Jordan sewaktu usianya 16 tahun.

"Sejak awal bermula karier dengan All My Children, kamu beri laluan pada saya.

"Kamu tunjukkan bagaimana untuk menjadi lebih baik dan mencipta legasi.

"Sama ada kamu mengetahuinya atau tidak, saya melihat, belajar dan sentiasa terdorong oleh kehebatan kamu. Saya harap kita mempunyai lebih banyak masa.

"Perkara yang paling menyedihkan ialah, saya kini memahami bagaimana kamu sebenarnya seorang legenda dan adiwira. Saya harap kita mempunyai lebih banyak masa," katanya.

Jordan mengakhiri penghormatannya dengan mendedikasikan sisa hari-hari akan dilaluinya dengan mencontoh langkah Boseman.

"Saya dedikasi sisa hidup saya untuk hidup dengan cara kamu dengan rahmat, keberanian, dan tiada penyesalan.

"Adakah ini raja kamu? Ya! Istirahatlah dalam Power Brother," katanya.