Skip to main
Logo Malaysiakini

Umbrella yakin Hilang tidak mengundang badi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Biarpun hampir sedekad tidak tampil dengan sebarang hasil karya baru, kumpulan Umbrella yakin single terbaru, Hilang, tidak akan membawa sebarang konotasi negatif atau badi buat mereka.

Meskipun hilang selalu dikaitkan dengan sesuatu yang buruk atau negatif, vokalis Umbrella, Zarul bagaimanapun berpendapat sebaliknya.

Katanya, selepas pemerhatian dibuat penggunaan perkataan “hilang” sebagai judul lagu mereka juga didapati agak popular dalam kalangan karya-karya penyanyi tempatan.

“Tidak semestinya gunakan judul Hilang bawa badi. Kami tak anggap begitu walaupun sembilan tahun kumpulan ni tak terbitkan lagu baru buat peminat.

“Jika dilihat ada beberapa penyanyi popular negara yang menggunakan perkataan tersebut sebagai tajuk lagu dan karya mereka masih ada yang minat,” katanya.

Zarul ditemui pada majlis sidang media Hilang di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir tiga lagi anggota kumpulan berkenaan iaitu Hafizz, Rizal dan Saiful. Bagaimanapun, seorang lagi anggota, Isnin tidak dapat menyertai sidang media tersebut ekoran mempunyai komitmen lain.

Tetap bangga Umbrella bertahan

Menguatkan lagi keyakinan Umbrella, pemilik nama penuh Zairulkefli Husin itu berkata, kehadiran lagu ciptaan komposer muda Shouk Azis bersama bersama Bidin Alzaifa, Zabbe Zharin dan Riff itu mampu meraih lebih 100,000 tontonan hanya dalam masa tiga hari selepas dimuat naik di YouTube.

Bagi Zarul, 45, jumlah tersebut sudah memadai memandangkan kumpulan berkenaan perlu bersaing dengan populariti kumpulan bakat baru yang digelar BBNU (budak-budak baru nak up).

“Jika ada rezeki untuk menembusi pasaran orang muda, apa salahnya? kami semua orang-orang tua. Jumlah tontonan tak mengecewakan juga jika nak dibandingkan dengan bakat muda. Kami harap akan bertambah lagi dan lagi, insya-Allah.

“Kali terakhir Umbrella hasilkan single Sayang Bersebab, dicipta Saari Amri pada 2011. Hampir 10 tahun tak rakam lagu baru bila diberi peluang tampil kembali memang gembira.

“Pada awal memang rancang nak keluarkan single selepas dua tahun saya keluar dari program Gegar Vaganza, tapi sekarang baru ada rezeki,” katanya.

Untuk rekod, Umbrella yang ditubuhkan pada 1994 itu pernah melakar sejarah tersendiri apabila lagu-lagu mereka menjadi kegemaran ramai. Misalnya Ramalanku Benar Belaka, Bukalah Hatimu dan Retak Jangan Relai.

Bagaimanapun, Zarul berkata, kehadiran Hilang bukan bertujuan mengaut keuntungan atau meraih populariti sebaliknya single berkenaan dihasilkan bagi mengekalkan jenama Umbrella dalam industri muzik.

“Kami berempat bangga dapat mengekalkan Umbrella hingga hari ini, biarlah sekiranya ada pihak berpendapat kami wajar berhenti atau beri peluang pada anak-anak muda.

“Kami buat bukan sebab nak glamor tapi demi cintakan muzik dan kepuasan sendiri,” katanya.