Skip to main
Logo Malaysiakini

Zarul bantu rakan kru penerbangan hilang kerja dek Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menyedari industri penerbangan terjejas teruk ketika wabak Covid-19 masih menular, penyanyi dan pelakon Zarul Umbrella tampil dengan usaha membantu rakan-rakan yang kehilangan pekerjaan.

Zarul - yang juga bekas pramugara - berkata, bantuan dihulurkan sekadar mengikut kemampuan itu biasanya merangkumi aspek mempromosikan perniagaan melalui platform media sosial miliknya seperti YouTube dan Instagram.

“Saya memahami ramai kenalan yang terdiri daripada pramugara, pramugari dan juruterbang mengalami krisis untuk menjana pendapatan selepas tidak lagi bekerja sebagai kru penerbangan.

“Misalnya, saya ada berjumpa dua daripada mereka, iaitu pasangan suami dan isteri, kedua-duanya kehilangan pekerjaan pada hari sama.

“Untuk membantu, saya guna YouTube dan Instagram sendiri untuk mempromosi jualan mereka. Nak membantu dari segi kewangan tak mampu,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Zarul atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin baru-baru ini nekad melepaskan melepaskan kerjaya tetap sebagai pramugara selepas 17 tahun bertugas di awan biru.

Pada masa sama, Zarul berkata, dia menyanjung keazaman dan dedikasi dipamerkan kru penerbangan yang berjuang meraih pendapatan alternatif walaupun melalui perniagaan diusahakan secara kecil-kecilan di rumah.

Bekas peserta musim ketiga program realiti, Gegar Vaganza (GV3) itu berkata, mereka yang masih bekerja sebagai kru penerbangan terpaksa mencari pelbagai alternatif lain untuk menampung kehidupan ketika industri penerbangan mengambil masa untuk pulih.

“Mungkin ada yang hanya dapat gaji pokok atau tak ada gaji langsung. Mereka perlu fikirkan cara untuk bayar komitmen.

"Saya difahamkan, suami Fiza Halim yang juga juruterbang mengusahakan perniagaan sambal.

“Saya kagum dengan semangat mereka. Saya harap orang ramai boleh membantu menyokong perniagaan yang diusahakan,” katanya.