Skip to main
Logo Malaysiakini

Bincang isu air: Amin Idris tunggu respons MB Kelantan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pengacara dan personaliti televisyen Amin Idris masih menunggu jawapan daripada pihak Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob untuk menyatakan persetujuannya bagi menyertai program membincangkan masalah bekalan air di dua negeri iaitu Selangor dan Kelantan.

Dakwa Amin, setakat ini, dia sudah menerima jawapan pengesahan daripada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang bersetuju untuk menjadi tetamu The Amin Idris Show, rancangan kendaliannya yang akan bersiaran pada Rabu ini.

“Alhamdulillah, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari sudah setuju untuk jadi tetamu #TheAminIdrisShow bagi menjawab soalan rakyat tentang isu air Rabu ini.

“Cuma masih tunggu jawapan dari pihak Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob sejak semalam. Saya sudah menghubungi pegawai khasnya, alhamdulillah dia beri kerjasama baik dengan memberi nombor telefon setiausaha politik untuk dihubungi.

“(Namun) Sudah beberapa kali menghubungi melalui panggil telefon dan WhatsApp. Mungkin dia masih sibuk. Harap dapat jawab WhatsApp saya kerana surat rasmi akan menyusuli,” katanya melalui hantarannya di Facebook hari ini.

Ahmad Yakob

Semalam, Amin menyuarakan harapan agar kerajaan Selangor dan Kelantan segera menyelesaikan masalah bekalan air yang sering timbul di kedua-dua negeri tersebut.

Kenyataannya itu dibuat susulan gangguan terbaru bekalan air di Selangor dan Kuala Lumpur yang mengundang kemarahan pelbagai pihak.

Gangguan bekalan air sejak 3 September lalu itu berpunca daripada pembuangan bahan tercemar oleh sebuah kilang di Sungai Gong, yang kemudiannya mengalir ke Sungai Sembah, iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

Antara pihak menyuarakan kritikan adalah PAS Selangor yang menyifatkan pentadbiran PH di negeri itu gagal menangani masalah tersebut.

Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Ahmad Yunus Hairi menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan lebih tegas terhadap pihak yang menjadi punca pencemaran sungai.

Bagaimanapun Amin berkata, masalah bekalan air di Selangor dan Kelantan adalah dua perkara berbeza.

“Ada bezo (beza) antara masalah infrastruktur asas dan masalah pencemaran,” katanya.

Amin berkata, dia yakin Ahmad akan bersikap terbuka dalam menjawab soalan rakyat berhubung masalah gangguan bekalan air.

“Saya tak mewakili mana-mana parti politik. Hanya seorang rakyat biasa dan menyediakan platform program saya untuk rakyat bertanya terus

“Ada ahli pemuda PAS kata saya tak faham isu, justeru, saya buka ruang untuk memahamkan isu kepada saya dan rakyat,” katanya kepada Malaysiakini.