Skip to main
Logo Malaysiakini

Vokalis The Temptations korban Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas penyanyi utama kumpulan The Temptations, Bruce Williamson, meninggal dunia di kediamannya di Las Vegas, Amerika Syarikat selepas bertarung nyawa melawan jangkitan Covid-19, semalam.

Anaknya, Bruce Williamson Jr, meluahkan perasaan sedih atas kemagtian penyanyi berusia 49 tahun itu selain menyifatkan bapanya seorang individu hebat dan penyayang,

Luahan perasaan itu dinyatakan Williamson Jr dalam satu hantaran di Facebook.

“Tiada perkataan dalam dunia dapat menggambarkan apa yang saya rasakan sekarang.

“Saya sayangkan kamu ayah. Terima kasih kerana menjadi seorang yang hebat, terima kasih kerana menyayangi, terima kasih kerana menjadi seperti diri kamu dan saya berdoa kepada Tuhan agar kita akan bertemu lagi nanti,” katanya.

Willamson menganggotai The Temptations pada 2006 hinggalah 2015. Dia banyak menyertai konsert dan persembahan televisyen sepanjang pembabitannya bersama kumpulan tersebut.

Kemudian dia yang terkenal dengan irama soul dan R&B itu meneruskan kerjaya sebagai penyanyi solo.

Mendiang juga menjadi penyanyi utama dalam album Temps, Back To The Front dan Still Here.

Bagaimanapun, Willamson bukanlah anggota asal Temptations - yang tampil dengan beberapa rentetan lagu hits terbitan Motown Records termasuk My Girl, The Way You Do The Things You Do dan Get Ready.

Namun, dia menjadi penyanyi semula lagu-lagu tersebut dan beberapa lagi lagu hit The Temptations.

Dilahirkan di Compton di Los Angeles, Willamson mendapat asas nyanyian sebagai penyanyi gospel di gereja pada usia yang muda.