Skip to main
Logo Malaysiakini

Finas perkasa penguatkuasaan untuk atasi cetak rompak

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan memperkasa dan memantapkan penguatkuasaan lesen pengedaran filem bagi memantau sumber pengedaran cetak rompak.

Menurut agensi itu langkah tersebut akan dilakukan melalui Seksyen 22 (1) Akta Finas 1981.

"Finas mengambil maklum mengenai keresahan penggiat industri apabila filem yang ditayangkan dicetak rompak oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," kata Finas dalam satu kenyataan hari ini.

Pendirian itu diputuskan Finas pada mesyuarat Jawatankuasa Pembanterasan Cetak Rompak yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri di Kompleks Finas, Hulu Klang.

Kata Finas, mereka memandang serius masalah cetak rompak yang semakin berleluasa dalam bentuk fizikal, platform media sosial seperti Telegram, laman sesawang dan "setup box".

"Isu cetak rompak seperti di plaftorm media sosial dan Shopee pada masa kini masih dalam siasatan pihak berkuasa dan tindakan undang-undang akan diambil dengan tegas," katanya.

Finas juga meminta sekiranya terdapat sebarang maklumat atau aduan berhubung aktiviti pengedaran filem cetak rompak boleh diemel terus ke Unit Komunikasi Korporat Finas.