Skip to main
Logo Malaysiakini

Zizan tak nak ulas kisah Mira Filzah, Jennie Blackpink

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hadir dengan wajah suram, tidak banyak yang ingin diulas pelakon dan pelawak terkenal, Zizan Razak, apabila ditanya mengenai dua wanita yang dikaitkan dengannya baru-baru ini.

Raut wajah Zizan itu sekali gus memberi gambaran bagaimana jawapan yang bakal diluahkan daripada mulutnya.

Dia diminta mengulas mengenai Mira Filzah serta anggota kumpulan Blackpink dari Korea Selatan, Jennie.

"No (tidak) to Mira Filzah, no to Jennie," katanya ringkas ketika ditemui pada majlis pelancaran The Masked Singer di Kuala Lumpur semalam.

Keengganan pelakon Bikers Kental itu untuk memberi komen berhubung kedua-dua personaliti berkenaan tidak dapat dipastikan sebab-musababnya.

Pemilik nama penuh Mohd Razizan Abdul Razak itu dijadikan bahan usikan netizen selepas Mira - yang sering dikaitkan menjalin hubungan istimewa dengannya - menamatkan status bujang baru-baru ini.

Pelakon Bidadari Kiriman Tuhan itu dinikahi Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar pada 3 Sept lalu. Lelaki terbabit merupakan anak kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mastura Yazid.

Zizan, 36, turut terpalit kontroversi apabila cubaannya untuk meninggalkan komen jenaka di Instagram Jennie bertukar menjadi sebaliknya dan disifatkan warganet berunsur lucah Ogos lalu. 

Komen Zizan itu bagaimanapun telah dipadam dari Instagram Jennie.

Pun begitu, Zizan ketika ditemui pada majlis yang sama ada mengakui jadual hariannya kini terlalu padat membuatkan dia risau mengenai kesihatan wanita yang disayangi - iaitu neneknya.

Kata Zizan, kesibukan turut menyebabkan dia tidak mempunyai masa untuk diri sendiri atau memikirkan soal kahwin.

"Buat masa ni tak fikir langsung pasal kahwin sebab nenek tengah sakit dan saya pula dah mula sibuk dengan pelbagai urusan, badan pun jadi lesu.

"Kami masih menunggu keputusan diagnosis tahap kesihatan nenek yang disyaki mengidap kanser.

“Disebabkan tu saya risau jika tak sempat pulang ke Dungun untuk menjenguknya. Saya harap semua orang memahami, kadang-kadang jadi pelawak ni sukar sebab orang ingat kita asik nak melawak je,” katanya.