Amin puji keberanian menteri besar hadapi makian, hasut maya
Pengacara dan personaliti televisyen Amin Idris memberikan pujian kepada seorang menteri besar yang berani menjawab soalan kepentingan rakyat walaupun tahu bakal berdepan makian dan hasut maya (troll).
Amin berkata, keadaan itu juga berlaku ketika dia sendiri memberikan kritikan terhadap pentadbiran menteri besar berkenaan.
Katanya, di sebalik teguran itu dia tetap mendapat kerjasama dan layanan baik daripada ahli politik berkenaan, termasuk semasa mempelawanya menyertai program bual bicara secara langsung di media sosial.
Katanya, daripada insiden itu juga mungkin ada sesuatu yang boleh dipelajari oleh orang lain.
“Baru-baru ni saya tegur menteri besar sebuah negeri ni. Saya kritik, betulkah isteri beliau dapat layanan istimewa dalam masalah air di kala rakyat derita?
“Saya tanya kenapa tahun ini saja lima kali berlaku bekalan air terputus di sebuah negeri yang punyai antara hasil tertinggi di Malaysia?" katanya di media sosial.
Baca ‘Saya dan isteri mohon maaf’
Tambah hos Tazkirah Malam Jumaat itu lagi, dia tetap dapat berkomunikasi dengan menteri besar malah diberikan ucapan terima kasih atas kritikan dan teguran diberikannya.
Amin kemudian bercadang menjemput menteri besar berkenaan untuk menjawab isu-isu semasa berkaitan rakyat dalam program The Amin Idris Show.
Disaksikan generasi demi generasi
“Cuba teka? Walaupun dia tahu akan ada komen-komen yang bakal maki dan troll beliau, dia jawab insya-Allah,” katanya.
Tanpa memetik sebarang nama dipercayai hantaran Amin itu merujuk kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, yang menjadi tetamunya dalam siaran langsung malam tadi.
Isu tumpuan mereka ialah masalah bekalan air di Selangor.
Sebelum itu Amin turut mempelawa Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob, untuk menjadi menjawab soalan berkaitan isu air. Namun bukan saja ia tidak berjawab malah Amin dihujani dengan pelbagai label jelik oleh warganet.
Berkongsi kisah bagaimana kerjasama diberikan menteri besar terbabit, Amin menjelaskan bagaimana berlaku komunikasi dua hala antara dia dengan setiausaha tokoh berkenaan.
Sementara itu, Amin turut mengulas soalan-soalan diajukan sepanjang program yang baginya amat memuaskan kerana semuanya dijawab menteri besar terbabit.
“Sama ada ia dapat memuaskan hati semua orang atau tidak, itu hak masing-masing.
"Yang pasti temu bual itu akan dapat disaksikan oleh generasi demi generasi selagi Facebook dan YouTube masih wujud di muka bumi ini.
“Ada sesuatu yang kita boleh belajar?” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai