Skip to main
Logo Malaysiakini

Nak berkhidmat untuk Sabah, Rich enggan jadi 'YB penipu macam yang lain'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kini bersedia untuk menyertai politik secara aktif, vokalis Estranged, Rich Gimbang, nampaknya berhati-hati memulakan langkah agar percaturannya itu benar-benar berbaloi.

Ia dibayangkan Rich ketika suhu politik Sabah sedang memanas menjelang pilihan raya negeri (PRN) hujung bulan ini.

Namun sasaran Rich bukanlah PRN ini sebaliknya pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ketika tarikh PRU ke-15 masih belum diketahui, Rich yang aktif menjalankan projek kemasyarakatan itu berkata, dia mahu memastikan perjuangannya benar-benar membawa faedah kepada penduduk Sabah.

Alasannya, dia tak mahu disamakan dengan ahli politik lain yang membawa imej negatif.

"Kita kena jujur dan ingat dari mana asal-usul kita datang. Nanti orang kata kita ni penipu, sama saja (dengan ahli politik lain)," katanya kepada Malaysiakini.

Pemilik nama penuh Richael Lawrence Gimbang itu - bersama dua lagi anggota Estranged iaitu Solihuddin Hormat atau Din dan Nor Hanafi Noor Hadi - sebelum ini terbabit dalam projek tanggungjawab sosial korporat iaitu Jelajah Misi Elektrik Borneo.

Rich, 38, menjelaskan kesukaran hidup penduduk terutama di kawasan pedalaman Negeri Di Bawah Bayu itu yang hidup tanpa sumber elektrik mencetuskan ilham kepada mereka untuk membina projek hidroelektrik.

Buat pertimbangan masa depan

Antara lokasi berjaya menempatkan kemudahan tersebut adalah di dua buah kampung di Ranau.

Bermula dari situlah semangat penyanyi lagu Bangkit itu untuk bertanding sebagai calon PRU akan datang semakin meninggi.

“Apabila bertemu penduduk di kampung-kampung tersebut, saya dengar mereka suarakan harapan agar menjadi wakil rakyat.

"Harapan mereka itulah yang menjadi pembakar semangat saya ketika ini,” katanya.

Justeru, bekas pelajar Akademi Fantasia Musim 4 itu berkata, dia memasang misi dan visi yang tinggi untuk dipenuhi sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat suatu hari nanti.

“Sasaran saya adalah membantu kampung-kampung yang tiada kemudahan asas seperti menyediakan liputan Internet atau pusat Internet, elektrik serta pusat pendidikan.

“Kami nak bina hub komuniti yang boleh membantu memperbaiki kemudahan infrastruktur di Tambunan,” katanya.

Terdahulu, Rich memuat naik imej yang membayangkan dia akan bertanding sebagai wakil rakyat di media sosial dengan kapsyen “kerja-kerja bermula sekarang, kami sudah bersedia.”

Sementara itu, ditanya kecenderungannya untuk menyertai mana-mana parti dalam merealisasikan impiannya sebagai ahli politik, Rich menjawab: “Saya ingin buktikan dulu kemampuan membantu rakyat Tambunan.”

Pada masa sama, menurutnya, sekiranya terdapat parti yang ingin mempelawanya menyertai mereka, pertimbangan akan dibuat berdasarkan hala tuju dan persamaan manifesto yang dibawa.

“Tak boleh masuk saja mana-mana parti, atau tak semestinya bertanding sebagai calon bebas.

“Jika ada parti komponen sudi pelawa dan mereka suka idea serti visi yang mahu saya laksanakan, saya akan pertimbangkan untuk menyertai mereka kerana kami membawa wawasan sama,” katanya.