Skip to main
Logo Malaysiakini

Michael Ang terkilan dicurigai sudah kafir gara-gara hantaran Instagram

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penerbit dan pengarah, Michael Ang, mengaku terkilan apabila ada segelintir pengikutnya di media sosial menuduh dia kafir gara-gara memuat naik klip video sedang berdoa dalam Instagram.

Kata Michael, disebabkan video tersebut, dia menerima kecaman bertubi-tubi melalui mesej langsung (direct message) yang disampaikan kepadanya.

“Apabila muat naik klip video sedang berdoa, ramai betul yang DM untuk tanya, saya ni dah kafir ke?

“Mereka cakap macam tu sebab sejak saya memeluk Islam, saya tak pernah kongsi sebarang gambar masuk masjid atau solat, tapi sekarang kenapa nak muat naik pasal berdoa pula,” katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini enggan masyarakat berteka-teki, pemilik nama penuh Michael Ang Hai Swee itu mendedahkan dia sudah mengucap dua kalimah syahadah sebelum 2019 lagi.

Kata Michael, 44, keputusan untuk mengumumkan peralihan kepercayaannya itu dibuat kerana dia tidak mahu orang bimbang atau terkejut melihat kelibatnya menunaikan solat Jumaat di masjid. 

Pengarah drama Benci vs Cinta itu berkata, sebenarnya sedikit pun dia tidak mahu menunjukkan riak apabila berkongsi video berkenaan yang sebenarnya memaparkan sebahagian daripada babak dalam telefilem terbaru dilakonkannya, Kasih Tau Foo Fah.

Dia malah tidak berasakan wajar untuknya berkongsi sesuatu amalan yang dilakukannya di media sosial kerana berpendapat itu adalah antara dia dengan Allah.

“Saya suka babak berdoa dalam telefilem diarahkan Raja Mukhriz tu kerana nilai elemen visualnya menarik. Itu saja.

“Takkanlah saya perlu kongsikan setiap amalan yang saya buat di Instagram, kan? Nanti orang tuduh saya menunjuk-nunjuk pula. Kenapa orang yang dilahirkan sebagai Islam boleh berkata sedemikian?” katanya.

Kasih Tau Foo Fah bakal menemui penonton di slot Cerekarama TV3 pada 19 Sept ini.

Ia berkisahkan Michael yang membawa watak sebagai Ah Leong, penjual tau foo fah, berhasrat untuk mengambil Fikri sebagai anak angkat sebelum keluarga kandung kanak-kanak berkenaan menuntutnya.

Sementara itu, mengulas saiz tubuhnya yang semakin susut, pengarah yang juga terkenal melalui filem Kimchi Untuk Awak itu berkata, dia berpuas hati kerana pembedahan gastroplasty dijalaninya dua tahun lalu berjaya merendahkan tekanan darah tinggi selain mengawal tahap kencing manis dihidapinya.

Pun begitu, katanya, ada sesuatu yang membuatkanya kecewa kerana kini dia sudah tidak boleh menikmati makanan seperti sebelum ini.

“Secara mental, saya rasa masih gemuk walaupun orang tengok bentuk tubuh dah semakin kurus. Saya juga tak boleh nak makan macam dulu.

“Tapi apa pun, dari sudut positif, saya dapat berjimat-cermat bab makan selain apa dilakukan dapat kawal kesihatan. Saya pun bukannya kurus sebab nak jadi model,” katanya yang bakal membuat kemunculan khas dalam filem Polis Evo 3.