Skip to main
Logo Malaysiakini

Zul Ariffin lega masih bujang sewaktu PKP

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sering diajukan soalan berkaitan perkahwinan, pelakon Zul Ariffin kali ini berkata, dia "lega" kerana menjalani kehidupan sebagai seorang lelaki bujang sewaktu negara dilanda Covid-19.

Bagi aktor bertubuh kekar itu, keadaan dirinya yang masih solo membawa hikmah tersendiri apabila terhindar daripada sebarang kes perceraian atau konflik soal rumah tangga sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu.

“Saya bersyukur sebab belum berkahwin, walaupun tiga bulan duduk di rumah tak boleh keluar bekerja sepanjang PKP, dugaan seperti dialami pasangan berumah tangga tu tak ada.

“Kita pun faham tiga bulan PKP, kalau yang tak bekerja, macam-macam boleh wujud akibat tekanan.

"Tapi mujur saya tinggal bersama kakak. Jadi tak ada masalah tersebut (rumah tangga) selain tak rasa sunyi sewaktu PKP, " katanya.

Zul atau nama penuhnya Zulkifli Ariffin ditemui di majlis pengumuman filem terbaru lakonannya, Juang, di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.

Pelakon Sangkar itu berkata, untuk menamatkan zaman bujang, dia terlebih dahulu memerlukan seorang wanita yang tidak suka mengongkong selain memahami sikapnya yang mengutamakan pekerjaan dalam segenap aspek.

Dia juga, kata Zul, tidak gemar mengongkong wanita yang menjalin hubungan dengannya.

Ramai anak seni bergelut

“Itu cara saya melihat perkara tersebut. Dengan adanya cara berfikir sedemikian, tak sukar untuk saya keluar menjalankan urusan dan berkomunikasi dengan sesiapa serta tiada tekanan untuk uruskan perniagaan,” katanya.

Terdahulu, Zul, 33, mendedahkan dia terpaksa menunda perkahwinannya tahun ini selain memberi bayangan wanita tersebut tidak terdiri dalam kalangan selebriti dan juga belum menjadi Muslim.

Bagaimanapun, pelakon yang juga terkenal melalui filem J Revolusi itu enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenai siapa gerangan wanita berkenaan. 

Pun begitu, Zul berkata, dia menyokong mana-mana pasangan baru yang berani mengambil keputusan untuk berdepan cabaran dengan membina rumah tangga sejak PKP.

Mengulas kerjayanya, Zul berkata, dia bersyukur masih menerima tawaran lakonan selepas PKP fasa pertama ditamatkan dan itu membuatkannya lebih menghargai kehidupan sebagai anak seni.

“Apa boleh dikatakan, saya kini betul-betul menghargai kehidupan dan kerjaya yang ada, sedangkan ramai penggiat seni di luar sana tak perlu tunggu pandemik melanda, mereka tak ada kerja.

“Ramai anak seni yang sedang bergelut untuk kerjaya, justeru waktu-waktu beginilah amat bersesuaian untuk saya menilai semula setiap pengalaman yang ditimba sejak tercetusnya Covid-19 dan PKP, " katanya.

Sementara itu, mengulas pembabitannya dalam Juang, Zul yang teruja diberi kepercayaan melaksanakan tanggungjawab tersebut berkata, dia akan menjayakan watak sebagai seorang petugas barisan hadapan.

“Apabila terjadi wabak Covid-19, pasti ada pihak yang akan menerbitkan kisah itu mengikut versi mereka.

"Saya memang ingin terbabit dengan projek sebegini kerana kisahnya memaparkan apa yang benar-benar menimpa seluruh dunia dan ia bukan direka-reka,” katanya.

Juang akan menampilkan karya gabungan daripada enam pengarah iaitu Aziz M Osman, Yusry Abdul Halim, Kabir Bhatia, Osman Ali, Erma Fatima dan Matt Lai selain dijayakan 100 artis serta 200 kru penggambaran.

Filem dinaungi tiga syarikat gergasi Asia, Tropical Films (Matt Lai), The Film Engine (Jack Lim) dan Suhan Movies (Rosyam Nor) menceritakan kisah bagaimana rakyat Malaysia berdepan Covid-19 itu dijangka siap sepenuhnya tahun depan.