Skip to main
Logo Malaysiakini

Aksi Aafiyah cium perut ibunya cetus spekulasi Siti berbadan dua

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Aksi spontan Siti Aafiyah mencium perut ibunya, iaitu Siti Nurhaliza Tarudin sewaktu sesi siaran langsung di Instagram penyanyi itu semalam mengundang spekulasi yang mengatakan penyanyi itu sedang hamil anak kedua.

Melalui video berkenaan, Aafiyah dilihat berulang kali cuba mencium perut ibunya meski dihalang oleh Siti dan pekerjanya.

Siti dilihat tertawa setiap kali anak kesayangannya itu cuba berbuat demikian.

Tindakan Aafiyah, 2, yang tidak mampu dihalang ibunya menguatkan spekulasi bahawa penyanyi Comel Pipi Merah itu sedang berbadan dua.

Hasil semakan Malaysiakini di ruangan komen Instagram Siti, 41, pula mendapati, netizen menghujani pelbagai respons termasuk ucapan tahniah dan tidak kurang juga yang mendoakan kesejahteraannya selepas melihat aksi Aafiyah itu.

Siti dalam kenyataan sebelum ini pernah mengumumkan bahawa dia mengambil keputusan untuk berehat dari industri hiburan buat sementara waktu.

Media sebelum ini melaporkan, penyanyi yang turut terkenal melalui lagu Percayalah itu merancang untuk menimang cahaya mata kedua tahun ini dengan melalui proses rawatan kesuburan in vitro (IVF), sama seperti anak sulungnya.

"Insya Allah, sebab saya pun usia makin meningkat. Saya menyasarkan sebelum usia 43 tahun. Walaubagaimanapun saya tetap menjalankan apa yang doktor sarankan dengan mengikut segala prosedur sama macam dulu iaitu IVF.

"Sebab masa buat dulu saya masih ada embrio yang disimpan. Jadi, insya Allah. Ini semua rezeki Allah. Kalau letak, ia menjadi, begitulah sebaliknya.

"Apa pun, saya berserah pada Allah. Kalau Allah kata ada rezeki lagi, saya bersyukur. Kalau tidak ada pun, tidak mengapa.

"Ini kerana, Aafiyah satu-satunya doa yang saya menanti setelah sekian lama. Paling penting, saya kena fikirkan kesihatan saya juga," katanya dipetik Harian Metro.

Siti berkahwin dengan Khalid Mohamed Jiwa atau Datuk K pada pada 21 Ogos 2006. Hasil perkongsian hidup itu mereka menimang anak perempuan, Aafiyah selepas 12 tahun mendirikan rumah tangga.