Skip to main
Logo Malaysiakini

Noktah taruhan Fazura sebelum bergelar ibu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Meskipun sedang sarat mengandung dan dijangka melahirkan bayi sulung bulan depan, situasi itu tidak menghalang penyanyi dan pelakon Nur Fazura untuk melancarkan lagu baru, Noktah.

Menurut Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin, 37, lagu ditulis dan digubah Ezra Kong itu menceritakan bagaimana mereka yang berpasangan tidak berdaya lagi untuk menyelamatkan hubungan dibina.

“Saya pasti setiap wanita pernah merasa tiada harapan apabila berada dalam sesebuah hubungan yang toksik.

“Tak mudah untuk meninggalkan seseorang yang kita sayang tapi kita harus lakukan demi kebaikan sendiri.

“Apa yang penting adalah kita perlu menghormati dan menyayangi diri kita terlebih dahulu dan belajar untuk meninggalkan sesuatu yang gagal untuk dipertahankan,” katanya mengulas keistimewaan lagu Noktah.

Untuk rekod, Ezra, komposer lagu yang telah menghasilkan lagu-lagu hit di carta muzik Malaysia, dikenali sebagai seorang yang agak memilih dari segi kerjanya.

Pada kebiasaannya, Ezra menghasilkan tiga hingga empat lagu sebulan kerana dia seorang yang sangat teliti dengan kerjanya.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kenny Ong pula berkata, lagu Noktah mengketengahkan mesej agar manusia itu belajar menjadi kuat untuk melepaskan sesuatu bila perlu.

“Saya suka mencipta satu persona dan cerita pada setiap kerja saya untuk membantu pendengar merasa lebih dekat dengan lagu tersebut.

“Untuk lagu Noktah, hampir setiap daripada kita pernah melaluinya dan ia juga sebagai peringatan kepada kita untuk kuat melepaskan apabila perlu,” katanya.

Menurutnya, tiada apa yang dapat menghalang Fazura biarpun dia sedang sarat mengandung.

“Keluarga Universal Music Malaysia sangat teruja dengan pelancaran lagu terbaru Fazura, Noktah.

“Dia masih lagi gigih bekerja dan baru-baru ini melancarkan produk penjagaan kulit dengan namanya sendiri dan sekarang lagu terbarunya, Noktah, sebelum menjadi seorang ibu,” katanya.