Skip to main
Logo Malaysiakini

Fazura, Fattah Amin sambut cahaya mata

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pasangan selebriti terkenal, Nur Fazura Sharifuddin dan Fattah Amin selamat menyambut kelahiran cahaya mata sulung mereka hari ini.

Khabar bahagia itu dikongsikan oleh Fazura, 37, sebentar tadi di Instagram.

"Assalamualaikum. Syukur alhamdulillah ke hadrat Allah. Kiriman agung pertama kami selamat dilahirkan pada hari Jumaat yang mulia ini, 14 Safar 1442 Hijrah bersamaan dengan 2 Oktober 2020.

"Cahaya mata perempuan yang sihat dan sempurna ini sangat membahagiakan kami berdua dan keluarga," katanya.

Dalam mengongsikan khabar gembira tersebut, penyanyi dan pelakon itu meminta agar diberi ruang buat mereka merahsiakan nama dan wajah permata hatinya.

"Kami ingin memohon sedikit masa bagi merahsiakan nama dan wajah anakanda tersayang sehingga selepas tujuh hari selaras dengan sunnah Rasulullah SAW," katanya.

Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, 30, turut meluahkan rasa syukur apabila isterinya selamat melahirkan zuriat mereka dalam keadaan lancar.

"Alhamdulillah, tiada ucapan yang lebih baik dari segala puji buat Allah yang memberi rahmat dan rezeki buat kami dikurniakan seorang cahaya mata yang sempurna dan cukup sifat di hari penghulu segala hari iaitu Jumaat.

"Saya sangat bersyukur kerana semuanya berjalan dengan lancar. Kedua-dua, Fazura dan anak perempuan kami berada dalam keadaan sihat," katanya, juga di Instagram.

Pasangan itu juga berterima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesejahteraan mereka sejak awal pernikahan hingga Fazura menjalani fasa kehamilan dan kini bergelar ibu.

"Terima kasih kami ucapkan buat anda semua dikasihi, yang tidak henti mendoakan kami bertiga sejak awal sehingga Fazura selamat melahirkan.

"Salam sayang dari kami bertiga," kata Fazura dan Fattah.

Sementara itu, Pengarah Urusan Universal Music, Kenny Ong, turut teruja menyambut kehadiran cahaya mata Fazura dan Fattah.

"Saya ikut berbahagia mendapat khabar Fazura telah selamat melahirkan anak sulungnya. Saya ucapkan tahniah dan semoga menjadi ibu bapa yang terbaik buat bayi ini," katanya.

Terdahulu, Fattah mengumumkan Fazura hamil empat bulan sekitar April tahun ini selepas mereka mendirikan rumah tangga selama dua tahun.