Skip to main
Logo Malaysiakini

Covid-19: Usop Wilcha cadang 'macai' tekan ahli politik

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ketika jumlah jangkitan Covid-19 terus meningkat dan menggerunkan orang ramai, pelakon Usop Wilcha berkata elok para menteri bercuti selama dua minggu dan bermuhasabah.

Katanya, bukan menjadi suatu kerugian sekiranya para menteri tidak muncul dalam sebarang acara membabitkan rakyat.

"Teman harap-harap ahli politik terutama menteri yang balik dari Sabah elok ler bercuti selama dua minggu.

"Tak payah nak bergelut hadiri acara untuk rakyat.

"Kami rakyat tak rasa rugi pun komer (kamu) cuti, majoriti komer masuk pejabat, pergi acara tak bawa apa faedah pun.

"Ambil cuti dan muhasemenanjung," katanya.

Kementerian Kesihatan dan ahli politik dihujani kritikan mutakhir ini susulan peningkatan kes Covid-19 di seluruh negara yang antaranya disebabkan oleh kalangan yang terlibat dalam pilihan raya negeri Sabah.

Sejak 20 September, 136 kes Covid-19 dikaitkan dengan mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke sana.

Langkah melakukan ujian saringan di lapangan terbang terhadap penumpang dari negeri itu yang bermula 27 September lalu pula disifatkan sebagai sudah terlambat.

Usop atau nama sebenarnya Syed Mohamad Asri Syed Zainal Abidin Jamalullail, 54, juga mencadangkan supaya "semua macai-macai politik berhenti berpolitik buat sementara waktu."

"Gunakan kuasa 'kemachaian' kamu yang hebat tu dengan majoriti rakyat bagi memberi tekanan kepada semua ahli-ahli politik untuk lebih tegas dalam menangani isu politik tak kira parti manapun.

"Komer-komer memang hebat bab bantei membantei ni... What say komer?" Katanya.