Masih tetap dikenang peminat jadi anugerah terindah Liza Abdullah
Belum direzekikan untuk merangkul anugerah hingga ke hari ini, namun sedikit pun ia tidak membuat Liza Abdullah berkecil hati atau lemah semangat untuk terus memberikan lakonan terbaik sebagai anak seni.
Bagi dramatis itu, satu-satunya anugerah paling berharga buatnya setakat ini adalah apabila namanya masih meniti di bibir peminat, selain tawaran sebagai pelakon tidak pernah putus hingga ke hari ini.
“Ada orang cakap, patutnya tahun ni Liza Abdullah (dapat anugerah). Sebenarnya dari hari pertama melangkah ke bidang seni, saya tak pernah membayangkan sebarang anugerah.
“Sekiranya saya diangkat untuk terima anugerah, saya bersyukur dengan rahmat yang Allah berikan, namun jika tidak, saya tak berkecil hati.
“Orang hargai kita dan masih panggil lagi berlakon tu pun satu anugerah yang sangat indah, saya amat bersyukur,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menguatkan lagi kenyataannya itu, nama Liza sekali lagi melonjak sebagai pendukung watak Mak Leha menerusi drama bersiri popular, 7 Hari Mencintaiku 2, yang melabuhkan tirainya pada 17 Ogos lalu.
Susulan itu, 7 Hari Mencintaiku juga dijangka meneruskan musim ketiga pada Nov tahun depan.
Beri komitmen 200 peratus
Melalui karya ditulis Siti Rosmizah, pemilik nama penuh Norliza Abdullah itu mengaku dia sudah kalis kecaman dek watak Mak Leha yang menjadi ibu mentua kepada Mia Adriana dan ibu tiri kepada Khuzairi.
“Saya dah bersedia untuk musim ketiga. Disebabkan watak Mak Leha tu ada netizen sampai maki-hamun dan ada pula yang nak mandrem (bomohkan) saya," katanya.
Menjelaskan keberkesanan lakonannya Liza berkata, semasa beraksi dia memberikan sepenuh tumpuan untuk menjayakan watak yang diberikan.
“Saya jujur dalam lakonan, memang bagi 200 peratus, sebab takut tak dapat bagi hasil yang diperlukan dan kemudian peminat akan lari.
“Saya bersyukur pada Allah walaupun mula-mula dikecam akhirnya apabila tiba pada penghujung cerita, peminat berubah menyukai saya,” kata ibu kepada empat cahaya mata itu.
Pada masa sama, Liza, berkata, dia bersyukur apabila dikurniakan kesihatan dan ingatan baik ketika usianya mencecah 56 tahun sekarang.
"Selama berpuluh-puluh tahun berlakon, kisah ni yang mampu buat saya duduk di set penggambaran hingga malam.
"Cabaran utama saya adalah untuk menghafal dan menyampaikan dialog kerana ia daripada novel.
"Bagaimanapun sebagai pelakon Allah bagi kelebihan, apabila dah faham kita akan sampaikan watak ikut cara tersendiri walau macam mana penat sekalipun.
"Saya sebagai pelakon jika semalam tak feel (gagal menghayati), hari berikutnya saya akan pulun sebaik mungkin," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai