Skip to main
Logo Malaysiakini

Siti Nurhaliza terima Anugerah Emas, dinobat Malaysia's Most Admired

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penghibur nombor satu negara, Siti Nurhaliza berjaya membuktikan bahawa album fizikal (CD) masih mempunyai permintaan dalam pasaran apabila ManifestaSITI2020 berjaya mencapai jualan lebih 5,000 unit.

Pencapaian tersebut melayakkan penyanyi berkenaan menerima Anugerah Emas (Gold Award) daripada syarikat Universal Music Sdn. Bhd.

Siti berkata dia bersyukur kerana albumnya diterima ramai sehingga diberikan pengiktirafan sedemikian.

“Saya bersyukur kerana dalam era digital, album fizikal saya masih mendapat sambutan baik setelah empat bulan berada di pasaran.

“Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan saya berharap agar jualan ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

CD ManifestaSITI2020 dijual menerusi SNP On Pay iaitu sistem pemasaran oleh Affiliate yang diwujudkan oleh Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd.

Album tersebut memuatkan 11 buah lagu termasuk lagu Anta Permana yang pernah menduduki tempat ketiga dalam Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34).

Turut dimuatkan dalam album tersebut adalah lagu 7 Nasihat yang mula diperdengarkan kepada khalayak pada Februari lalu, menyaksikan Siti berganding dengan penyanyi duo Hip Hop, Kmy Kmo dan Luca Sickta.

Lagu Aku Bidadari Syurgamu yang terkandung dalam ManifestaSITI2020 juga berjaya tersenarai dalam carta radio dan carta platform digital sehingga ke hari ini.

Malah video muzik rasmi Aku Bidadari Syurgamu berjaya mencapai lebih 10 juta tontonan sejak dimuat naik di YouTube pada Julai lalu.

Album itu diterbitkan oleh Siti Nurhaliza Productions dengan kerjasama Universal Music Malaysia.

Pada September lalu pula, Siti dinobatkan sebagai Malaysia’s Most Admired bagi kategori wanita oleh portal YouGov, sebuah syarikat penyelidikan terkemuka di dunia yang mengumpul data dan maklumat hasil perkongsian pandangan dari 9.6 juta ahli mereka dari seluruh dunia.