Slam 'terpaksa' teruskan konsert Mentari Muncul Lagi tahun depan
Tidak ada pilihan buat kumpulan Slam untuk terus 'bernafas' buat masa ini - walaupun ketika negara masih diancam Covid-19 - kecuali terus gigih menjayakan konsert mereka yang dijadual berlangsung awal tahun depan.
Faktor ekonomi yang menghimpit sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan dilaksanakan antara sebab mengapa kumpulan ditubuhkan di Johor Baru pada 1993 itu terpaksa bangkit melakukan sesuatu untuk menjana pendapatan masing-masing.
“Seperti orang lain, pendapatan kami juga terjejas teruk sewaktu pelaksanaan PKP.
“Sejujurnya, tiada sebarang pendapatan dapat dijana melalui seni persembahan sepanjang tiga bulan tersebut,” kata pemain keyboard Slam, Eddie Ahmad, 49.
Vokalis Slam, Zamani, 49, turut menguatkan kenyataan itu dengan berkata: “Sekurang-kurangnya berbelas tawaran persembahan pentas yang ditawarkan kepada kami terpaksa dibatalkan.”
Eddie dan Zamani ditemui pada sidang media pengumuman konsert Slam Mentari Muncul Lagi di Kuala Lumpur kelmarin.
Konsert tersebut dijadual berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 17 Januari 2021.
Turut hadir, dua lagi anggota Slam iaitu gitaris Shah, dan Man (dram) manakala Lili (basis) tidak dapat hadir kerana menetap di Singapura manakala Ajak (gitaris) berhalangan yang tidak dapat dielakkan.
Mengulas kebimbangan Covid-19 yang belum menunjukkan tanda-tanda reda, penganjur Shiraz Projects Sdn Bhd (Shiraz Projects) dan Slam ternyata sudah bersedia dengan segala kemungkinan.
Mengambil kira faktor perlunya membendung penularan wabak tersebut, Shah atau nama penuhnya Shah Nizam Abdul Halim, 46, berjanji konsert itu akan diadakan dengan kawalan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat.
“Saya boleh jamin Shiraz Projects akan mengutamakan SOP lebih ketat dari tempat lain, dan pada masa sama kita sama-sama berharap apa yang dilalui ketika ini tidak bertambah teruk tahun depan.
"Sebarang maklumat tambahan atau sebagainya akan diumumkan Shiraz Projects,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif Shiraz Projects, Shirazleen Karim berkata, pihaknya yang terkesan teruk dengan Covid-19 dan perlu segera menangani masalah supaya mereka dapat kalis daripada krisis dan kesan wabak tersebut.
“Jika tiada siapa nak mulakan (penganjuran konsert), sampai bila industri mampu bertahan? Justeru, harus ada satu pihak yang benar-benar berani... nak tunggu sampai bila lagi?
“Kali terakhir kami mengadakan konsert adalah tahun lepas. Selepas tu tiada perniagaan, artis dan kru produksi pula hilang mata pencarian.
“Kecuali menjelang konsert tu nanti timbul keadaan tidak mengizinkan barulah kami akan umumkan pelan kecemasan yang dirancang,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai