Skip to main
Logo Malaysiakini

Fattah, Fazura namakan anak Nur Fatima Aisya

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seperti dijanjikan, pelakon dan penyanyi Nur Fazura akhirnya berkongsi nama puteri sulung mereka yang dinamakan Nur Fatima Aisya hari ini.

Nama itu dikongsikan isteri pelakon Fattah Amin itu melalui Instagram @fattzuralovelife kira-kira tiga jam lalu.

“Assalammualaikum, hari ini genap tujuh hari sejak saya dilahirkan 2 Oktober 2020,” katanya.

Mengiringi perkongsian tersebut, Fazura, 37, memuat naik klip video dia memangku bayi yang dilahirkan di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara, Jumaat lalu.

Terdahulu, pasangan berkenaan memohon diberi sedikit masa sebelum mendedahkan nama dan wajah anak mereka sehingga tujuh hari selepas kelahiran, mengikut sunnah Rasullulah SAW. 

Dalam perkongsian tersebut juga, wajah Nur Fatima tidak didedahkan sepenuhnya.

Menurut pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin itu, wajah Nur Fatima akan dikongsikan apabila tiba waktu yang bersesuaian.

“Fatima dah berusia seminggu hari ni, tapi daddy dan mommy kata Fatima masih muda sangat untuk didedahkan pada media sosial.

“Tapi Fatima tahu, ramai yang selalu doakan Fatima. Fatima syukur sangat pada mak cik dan pak cik semua.

“Terima kasih. Fatima pun tak sabar nak jumpa semua bila daddy dan mommy fikir Fatima dah bersedia,” katanya.

Fattah dan Fazura melangsungkan pernikahan pada majlis tertutup di sebuah hotel di ibu negara pada 27 November 2017.